Rabu, 13 Januari 2016

Tiada lagi lesen vape di Selangor

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan Selangor bersetuju untuk tidak mengeluarkan lesen kepada pengusaha Vape selaras dengan dasar ditetapkan kementerian kesihatan, kata Exco Kesihatan Dr Daroyah Alwi.

Sehubungan itu katanya tiada lagi kelulusan dan pembaharuan lesen akan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan itu sehingga satu keputusan dikeluarkan kerajaan persekutuan.

"Sehingga kini, sebanyak 69 lesen telah dikeluarkan untuk tujuan tersebut dan 30 daripadanya merupakan lesen sementara.

"Sementara larangan penjualan kepada kanak-kanak di bawah usia 18 tahun ke bawah dikekalkan sepertimana larangan terhadap penjualan tembakau dan rokok," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, satu bengkel khas telah diadakan pada 10 hingga 12 Januari bagi membincangkan isu pengharaman vape yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Ia antara lain melibatkan kementerian berkaitan, Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

"Rumusan bengkel berkenaan telah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor hari ini dan MMKN memberi pertimbangan agar isu vape ini ditangani dengan penuh tanggungjawab.

"Kerajaan Selangor bersetuju sebarang keputusan berkaitan penggunaan vape ini adalah tertakluk kepada arahan dan dasar semasa kementerian kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Sementara itu, kerajaan Selangor juga akan mewartakan semua kawasan larangan merokok di Negeri Selangor sebagai kawasan larangan Vape.

Ia antaranya termasuk premis kerajaan, hospital, institusi pendidikan, kawasan-kawasan ibadat, taman permainan dan rekreasi serta kawasan rawat dan rehat (RNR).



Tiada ulasan: