Isnin, 11 Januari 2016

Tanjong Malim kini dikenali daerah 'Muallim'

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
TANJONG MALIM: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Isnin berkenaan mengisytiharkan Tanjong Malim sebagai daerah pentadbiran baharu ke-11 di Perak dikenali sebagai Daerah Muallim. 
 
Tanjong Malim sebelum ini terletak di dalam daerah Batang Padang. 
 
Dalam titah pengiystiharan, Sultan Nazrin mengingatkan bahawa ilmu dan agama wajib dijadikan panduan ketika merancang serta merangka pembangunan daerah itu agar tidak berlaku kontradiksi antara nama dengan kandungan.
 
Ini kerana, titah baginda perkataan 'Mualim' berasal daripada perkataan Arab yang berkaitan dengan ilmu dan ilmuwan agama. 
 
"Unsur ilmu dan agama hendaklah dijadikan identiti daerah ini. Amatlah bertepatan dengan namanya jika daerah Muallim dibangunkan sebagai wilayah ilmu dan kota pelajar," titah baginda.
 
Daerah Muallim yang berada dalam Parlimen Tanjong Malim berkeluasan 93,434 hektar mempunyai 69,639 penduduk serta terdiri daripada tiga mukim iaitu Slim, Hulu Bernam Timur dan Hulu Bernam Barat. 
 
Titah Sultan Nazrin daerah Muallim terdiri daripada penduduk pelbagai latar belakang agama, etnik, budaya dan bahasa di samping terlibat dalam pelbagai profesion selain memiliki tahap pencapaian sosioekonomi yang berbeza. 
 
Sehubungan itu, perancangan pembangunan daerah Muallim sewajibnya berupaya memenuhi keperluan penduduk terutama kemudahan perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan, perhubungan dan perumahan.
 
"Semoga pemimpin, pentadbir serta penduduk di daerah Muallim sama-sama memahami, menghayati dan melaksanakan hasrat untuk membangunkan Perak sebagai negeri yang mencapai tahap sosioekonomi dan pendapatan per kapita tinggi.
 
"Semoga daerah Muallim akan menjadi daerah yang termaju dan pemimpin, pentadbir serta penduduknya sama-sama mendukung hasrat Kerajaan Beta untuk menjadikan negeri Perak sebuah negeri yang aman lagi berjaya," titah baginda. 


Tiada ulasan: