Jumaat, 8 Januari 2016

Tangguh sambung belajar, jaga kebajikan adik-adik

SINAR HARIAN


Tangguh sambung belajar, jaga kebajikan adik-adik


HULU TERENGGANU - Setelah bertungkus lumus belajar hingga peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), seorang pelajar mengambil keputusan untuk tidak melanjut pelajaran kerana terpaksa menyara empat orang adiknya.

"Saya terpaksa tangguhkan dahulu niat nak sambung belajar sebab terpaksa dahulukan adik-adik yang masih belajar," kata Norul Akhmal Mohd Rafi, 20.

Dia dan adik-beradiknya dari Kampung Lerek di sini kematian ibu dan bapa mereka.

Ibu mereka Aida Mustapha meninggal tahun lalu akibat bengkak hati manakala bapa mereka Mohd Ropi Aripin meninggal tiga tahun lalu disebabkan paru-paru berair.

Norul Akhmal berkata sejak kematian ibu bapa mereka, dia dan kakak mereka Nor Amiza, 21, serta adiknya Noor Assyikin, 19, mengambil tanggungjawab menanggung empat adik mereka Mohd Rusdi, 16, Nor Amaniah, 11, Muhammad Rafiq Edham, 7, dan Nor Amaliena, 6.

"Saya dan adik bekerja sebagai pembantu kantin dan tukang sapu di sebuah sekolah di sini manakala kakak saya bekerja sebagai pembantu kedai di pekan Kuala Berang.

"Bila kami dapat gaji yang tak seberapa, kami akan keluarkan seorang sedikit dan berkongsi untuk membeli barangan dapur, kelengkapan sekolah serta keperluan adik-adik," katanya kepada Bernama.

Menurut Norul Akhmal, meskipun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan dan bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, namun kadang kala ia tidak mencukupi.

Beliau berkata Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat turut membantu membeli pakaian dan kelengkapan sekolah adik-adiknya bagi permulaan sekolah tahun ini.

"Lepas ni, tak tahu lagi macam mana nasib kami. Saya ingat nak masuk kelas jahitan, tapi ia jauh di pekan Kuala Berang dan kami tak ada kenderaan lain kecuali sebuah motosikal peninggalan ayah dan mak yang perlu dikongsi kakak dan adik saya untuk bekerja," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: