Isnin, 18 Januari 2016

‘Tabung Haji, KWAP perlu tuntut RM1.5b daripada 1MDB'

MALAYSIAKINI



 


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menggesa Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) untuk menuntut semula RM1.5 bilion daripada 1MDB selepas syarikat pelaburan milik negara itu dikatakan melanggar syarat-syarat perjanjian sukuk.

“Saya mendesak supaya Tabung Haji dan KWAP menggunakan haknya mengikut perjanjian untuk menuntut 1MDB membayar kembali semua baki tertunggak dari terbitan sukuk ini secara serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kedua-dua Tabung Haji dan KWAP adalah pemegang sukuk Bandar Malaysia yang diterbitkan 1MDB yang bertujuan untuk membiayai penempatan semula dan menaiktaraf pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi dan juga beberapa pangkalan lain.

Rafizi mendakwa sukuk itu tidak digunakan sepenuhnya untuk tujuan yang dinyatakan dan telah melanggar syarat-syarat bon Islam itu.

Beliau berkata mengikut perjanjian berkenaan, Tabung Haji dan KWAP berhak untuk menuntut semua baki sukuk dan bayaran keuntungan dilunaskan serta merta oleh 1MDB kerana syarat-syarat sukuk telah dilanggar.

“Jawapan Perdana Menteri di Parlimen sebelum ini mengesahkan bahawa Tabung Haji telah melanggan sebanyak RM920.8 juta dari terbitan sukuk oleh 1MDB ini.

“Baki selebihnya dipercayai dilanggani oleh KWAP sebanyak RM579.2 juta,’ katanya.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa kedua-dua entiti itu untuk mendapatkan semula RM1.5 bilion demi kepentingan awam.

“Kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan kemarahan rakyat terhadap Tabung Haji dan KWAP yang akan menjatuhkan lagi kredibilit Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Razak,” katanya.


Tiada ulasan: