Jumaat, 8 Januari 2016

SPRM beri amaran lebih tangkapan, Zam tanya bila ikan besar

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan membuat tangkapan baru berhubung aktiviti perlombongan bauksit haram di Pahang.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, tangkapan baru itu bakal membabitkan beberapa individu yang disyaki sebagai orang tengah yang melindungi aktiviti berkenaan.

“Kita tidak menolak akan ada suspek lain yang akan ditahan untuk bantu siasatan berhubung kes semalam susulan hasil daripada maklumat terbaru yang kita terima.

“Pegawai SPRM kita kini sedang mengesan individu lain termasuk orang tengah serta individu lain dan sebagainya untuk disoal siasat,” katanya kepada laman web rasmi Kelab Penyokong Kerajaan, BNBBC.my.



Semalam, agensi anti-rasuah itu mendedahkan bahawa empat anggota Pejabat Tanah dan Galian termasuk seorang pegawai kanan ditahan.

Keempat-empat mereka disyaki meminta serta menerima rasuah dari pelombong bauksit tidak berlesen.
Dalam tulisan di Twitter, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyoal sama ada SPRM hanya menjadikan ‘ikan bilis’ sebagai sasarannya.

“Apabila empat pegawai PTG ditahan SPRM kerana isu bauksit, ramai tertanya apakah exco negeri tak terlibat dlm kelulusan projek ini. Ikan bilis sahaja?” tulisnya.

Sementara itu, Azam menafikan SPRM membuat penangkapan hanya selepas kerajaan persekutuan mengumumkan moratorium tiga bulan ke atas perlombongan bauksit di pahang.
Katanya, ia hanya kebetulan.

Ini kerana SPRM katanya telah mula bergerak secara aktif menyiasat aktiviti rasuah sejak pertengahan tahun lalu dan bertindak setelah mendapat maklumat yang jelas berhubung terdapatnya unsur-unsur rasuah di kawasan berkenaan.

“Nak kata apabila kerajaan suruh tutup baru ada tangkapan, saya kira tidak juga kerana kita hanya akan lakukan tangkapan jika maklumat yang diberikan mencukupi.

“Hanya kebetulan sewaktu tangkapan dibuat arahan menutup sementara aktiviti perlombongan sudah dibuat,” katanya.

Justeru orang ramai diseru tampil memberikan maklumat kepada SPRM jika mereka rasakan terdapat aktiviti melibatkan rasuah dimana-mana kawasan berdekatan mereka.

“SPRM tidak boleh bertindak sendiri. Kalau tidak ada orang beri maklumat kepada kita, kita tidak tahu dan kita tak boleh nak siasat. Jangan takut beri maklumat kepada kita. Kita akan lindungi semua maklumat,” katanya.


Tiada ulasan: