Jumaat, 8 Januari 2016

Siapa yang lebih rasis sebenarnya?

 
Kita kutuk orang itu rasis dengan membuat kenyataan rasis, itu hipokrit namanya.
 
 
 

say-no-to-racism_600


‘”Aku tak nak keling datang dekat aku ke, tolong aku ke. Banyak lagi orang yang boleh tolong…”
“Saya tak tahu awak doktor, kalau doktor, boleh sentuh…”

Dua itu antara ayat paling rasis pernah saya baca. Setiap orang, dari setiap kaum, ada sifat perkauman (racism) tersendiri. Bagaimanapun sifat perkauman dalam kalangan orang Malaysia bukanlah sebegitu teruk.

Dan ia bukan hanya berlaku di Malaysia. Seorang rakan dari Amerika pernah berkongsi betapa parahnya perkauman di negara itu dalam kalangan kulit putih terhadap orang berkulit hitam, termasuk orang Asia. Sehinggakan ada restoran yang tidak membenarkan pelanggan ‘berwarna’ berkunjung.

Syukur Malaysia belum ke tahap itu. Kecuali ada kes terpencil yang saya sendiri tak tahu!

Sebaik sesuatu cerita yang mengaitkan bangsa dan agama dikongsi, wah, bukan main cepat berita itu tersebar. Malah media massa juga tidak ketinggalan bermain isu kerana capaiannya sangat di luar jangkaan.
Lihat sahaja berita mengenai doktor itu, laporan FMT sahaja sudah mencapai lebih 17,000 perkongsian, tidak termasuk perkongsian di laman sosial dan perkongsian kedua, ketiga dan selebihnya.

Itulah kita, suka benar membaca dan berkongsi kisah yang ada elemen perkauman, lebih-lebih lagi jika kisah itu mampu menarik simpati atau berunsur drama. Kita banyak bercakap mengenainya dan selepas itu, kita sama-sama memberi komen yang berunsur perkauman!

Jadi apa bezanya kita dan pak cik atau sesiapa sahaja yang digelar ‘rasis’? Membaca kebanyakan komen yang dikongsi, saya berpendapat ia lebih rasis daripada kenyataan pak cik itu sendiri. Sekali lagi saya ingin tekankan, ia tidak terhad kepada berita doktor itu sahaja, malah mana-mana berita berkaitan pun sama sahaja.

Yang memberi dan membalas komen lebih rasis daripada subjek berita.

Kalau dulu, kita percaya moral dan etika seseorang bermula dari rumah, hasil didikan pertama daripada ibu bapa, tetapi kini ia mudah terpesong sebaik log in ke laman sosial. Ini barulah kita sifatkan sebagai akidah lemah!

Tidak ketinggalan, yang bertikam lidah mempertahankan agama, kaum dan bangsa masing-masing.

Memang tak salahpun kalau mahu pertahankan latar belakang dan warisan anda, cuma berpada-padalah dan jangan sehingga mencemarinya dengan kata-kata kesat menyerang agama, bangsa atau kaum orang lain.

Bagi saya, setiap orang ada hak menjaga, pertahan dan lindungi hak sendiri, tetapi anda sama sekali tiada hak untuk menjatuhkan, menghina atau memburukkan hak orang lain.

Walaupun berita doktor dan pak cik menarik perhatian saya, sehingga wujud rasa kecewa dengan penggunaan perkataan ‘keling’ serta perbuatan pak cik itu, tetapi saya lebih kecewa dengan sesetengah komen yang sejujurnya mengalahkan pak cik itu.

Janganlah jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Kita kutuk orang itu rasis dengan membuat kenyataan rasis, itu hipokrit namanya.

Tiada ulasan: