Jumaat, 8 Januari 2016

Setuju tukar semula bayi perempuan

Setuju tukar semula bayi perempuan
Mahani ketika menerima rawatan di hospital swasta dekat Jitra.


ALOR SETAR - Sepasang suami isteri tidak menyangka keterujaan untuk menyambut kelahiran seorang cahaya mata baru bertukar peristiwa hitam apabila bayinya dipercayai tertukar dengan pasangan lain, Rabu lalu.

Pertukaran anak kelima kepada pasangan Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37, dan Mahani Zakaria, 36, hanya diketahui menerusi panggilan telefon oleh sebuah hospital swasta dekat Jitra, lima jam selepas bayi perempuan itu dibenarkan pulang ke rumah.

Difahamkan, hospital swasta itu menerima kelahiran dua bayi perempuan seberat 3.1 kilogram dan 3.0 kilogram pada jam 2 dan 4 petang, hari sama.

Nik Ahmad Sabri ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan anak mereka ditukarkan semula selepas perbincangan bersama hospital dan pasangan berkenaan kira-kira jam 11 malam, Rabu lalu.

“Tiga anak saya lahir di Kelantan. Anak keempat dan kelima lahir di hospital berkenaan.

“Saya pilih hospital itu sebab doktor yang merawatnya adalah wanita, tetapi saya tidak sangka kejadian ini akan berlaku kepada kami sekeluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, insiden tertukar bayi amat dikesali dan suatu perkara serius jika tidak ditangani segera.

“Bayangkan sepanjang hari isteri saya memegang bayi itu dan menyusukannya sampai kenyang sehingga pulang ke rumah kira-kira jam 3 petang.

“Kemudian lebih kurang jam 8 malam, saya dapat panggilan dari hospital memaklumkan bayi kami tertukar dengan pasangan lain. Sejak itu, isteri saya menangis tidak henti sebab terkejut,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Siasat hospital swasta punca bayi tertukar ]

Beliau berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku disebabkan kecuaian jururawat ketika dalam bilik persalinan.

“Kami setuju menukar semula bayi itu selepas melihat tanda nama yang diikat di kaki bayi tertera nama pasangan lain.

“Tetapi ujian DNA tetap perlu dilakukan untuk memastikan ia benar-benar anak kami dan tidak tertukar lagi,” katanya.

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila pasangan yang tertukar bayi dengannya melahirkan anak sulung dan mungkin lebih trauma.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil perhatian dalam isu ini sehingga ia dapat diselesaikan dengan cepat.

“Saya harap isu ini tidak dijadikan spekulasi besar oleh pihak lain sebab bayi ini sudah ditukar semula dan menunggu keputusan DNA dalam masa 10 hari,” katanya.

Bagaimanapun, Nik Ahmad Sabri meminta suatu tempoh dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membolehkannya mendaftarkan nama anak mereka setelah ujian DNA diketahui.


Tiada ulasan: