Khamis, 14 Januari 2016

Sebelum persoal pelajar, soalkan ke mana wang universiti

Oleh Ashraff Nazrin


Sampai bila ingin menghabiskan dana untuk projek meratakan tanah sahaja?
 
 
 
uni-bahasa



Beberapa kes yang melibatkan kesempitan hidup mahasiswa telah mendapat tempat dalam beberapa media utama negara yang telah memfokuskan masalah kewangan mahasiswa sehingga menyebabkan beberapa kes kronik mahasiswa mengikat perut telah berlaku dan menjadi topik hangat.

Kenyataan-kenyataan berbentuk sokongan mahupun bidasan terhadap isu tersebut boleh didapati di laman sosial mahupun kenyataan rasmi Universiti. Beberapa menteri turut tidak ketinggalan dalam memberi komen sekitar isu ini.

KENYATAAN YANG MENGELAK ISU SEBENAR.

Malangnya kenyataan menteri yang sepatutnya menjaga rakyat, komen Universiti yang sepatutnya menyebelahi mahasiswa adalah kenyataan yang langsung tidak berpijak di alam mahasiswa yang nyata sekarang. Kenyataan-kenyataan mereka hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dan mengelak dipersalahkan. Memetik laporan The Malaysian Insider bertarikh 11 Januari 2016 bertajuk “Khairy tidak mahu isu mahasiswa kebuluran disensasikan, pastikan kesahihannya”

Sementara itu, bagi pihak Universiti yang mengeluarkan kenyataan melalui sekretariat Timbalan-timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) pula mengatakan tidak ada sebarang laporan kebuluran di Universiti memetik dari laporan The Malaysian Insider bertarikh 12 Januari bertajuk “Laporan pelajar kelaparan tidak pernah disahkan”

Kesemua kenyataan ini tidak langsung melambangkan usaha untuk memfokuskan terhadap penyelesaian isu yang sedang dibangkitkan tetapi hanyalah sebagai kenyataan yang mengelak daripada realiti.

Sedangkan mereka tidak faham bahawa bantuan-bantuan yang sepatutnya disediakan oleh Universiti terlalu banyak proses birokrasi yang meremehkan menyebabkan mahasiswa yang terdesak gagal mendapat solusi segera. Akhirnya peruntukan untuk bantuan kebajikan setiap tahun yang tidak dimohon ini hilang entah kemana.

Sudahlah bantuan sangat ketat, persoal pula sikap berbelanja sekumpulan mahasiswa.

Mahasiswa persoal belanjawan universiti dan Kementerian Pelajaran Tinggi

Dalam keadaan birokrasi proses permohonan bantuan untuk mahasiswa yang menyulitkan mahasiswa yang betul-betul susah, bagaimana pula proses perbelanjaan Universiti dan Kementerian Pelajaran Tinggi sendiri?

Mengambil contoh Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang telah mengumumkan untuk membina sebuah Dewan Kuliah dan perpustakaan pada tahun 2011 yang lalu sehingga kini masih tidak disiapkan. Sedangkan menurut sumber Utusan Online yang bertajuk “UMS-KAL bina dua projek besar” mengatakan bahawa projek tersebut termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK-10).

Sehingga ke hari ini, sudah dua kali projek meratakan tanah dilakukan tetapi tidak ada sebarang bentuk pembangunan yang berlaku. Tanah yang diratakan dua kali itu juga telah mengalami kerosakan apabila terlalu lama dibiarkan tanpa sebarang kemajuan dalam projek. Sampai bila ingin menghabiskan dana untuk projek meratakan tanah sahaja?

Tiang-tiang buruk yang sepatutnya menjadi pengukuh Dewan Kuliah baru itu juga sekarang hanya menjadi tempat mahasiswa berekspresi dengan lukisan-lukisan kreatif sahaja.

Ke mana dana Universiti?

Adakah dana Universiti dan Kementerian ataupun Kerajaan yang diperuntukan untuk projek RMK-10 ini tidak cukup bagi menyiapkan projek ini? Jika tidak cukup, kenapa tidak cari bantuan seperti mana gesaan-gesaan sebelum ini terhadap mahasiswa yang kebuluran tidak mencari bantuan.

Ketika mahasiswa menjawab soal kesempitan hidup dengan mengatakan bahawa bantuan dan peruntukan yang diberi tidak cukup bagi menampung keperluan ekonomi semasa dan dilabel manja, adakah Kerajaan dan Universiti juga mahu menggunakan alasan sama?

(*)  Ashraff Nazrin merupakan aktivis Pro Mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan

Tiada ulasan: