MIRI,  Kerajaan Sarawak menafikan dakwaan ia menyalahgunakan kuasa autonomi imigresen dengan melarang ahli politik pembangkang atau kalangan yang lantang mengkritik kerajaan daripada memasuki negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata larangan itu terpakai kepada semua individu yang dianggap sebagai petaksub perkauman atau pelampau tanpa mengira latar belakang politik atau agama mereka, termasuk penyokong Barisan Nasional (BN).

“Menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi Sarawak. Jangan tuduh saya hanya melarang anggota pembangkang, saya juga melarang penyokong BN daripada datang ke sini,” katanya pada majlis pelancaran program ‘Sejiwa Senada’ di padang Majlis Bandaraya Miri di sini hari ini.

Adenan berkata kerajaan negeri mengamalkan dasar terbuka, namun tidak akan bertolak ansur dengan kalangan bersikap perkauman dan pelampau yang berusaha untuk memusnahkan perpaduan dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama di negeri ini.

“Saya tidak akan membenarkan orang seperti (Datuk) Ibrahim Ali dan Dr Ridhuan Tee (Abdullah) untuk datang ke sini meracuni fikiran masyarakat kita,” katanya.

Adenan, yang juga Pengerusi BN Sarawak, mengulangi pendirian kerajaan negeri yang tidak membenarkan Umno melebarkan sayapnya ke Sarawak dan beliau berharap parti pembangkang di sini akan turut berbuat demikian.

“Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang lepas, saya nyatakan bahawa kami tidak mempunyai masalah untuk mengemukakan usul tidak membenarkan Umno memasuki Sarawak asalkan parti pembangkang turut mengemukakan usul tidak membenarkan parti berpusat di Semenanjung seperti DAP dan PKR, datang ke negeri ini, tetapi mereka (wakil pembangkang) mendiamkan diri,” katanya.

Mengenai pembinaan empangan hidroelektrik Baram di sini yang ditangguhkan, beliau berkata kerajaan negeri mungkin membatalkan projek itu sekiranya bekalan tenaga ke Sarawak dapat memenuhi permintaan pengguna.

“Buat sementara waktu, projek ini tidak akan diteruskan,” katanya, dan menambah, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan keluhan penduduk kampung yang terjejas akibat projek itu.