Selasa, 19 Januari 2016

Salah siapa rumah mahal?




Oleh Safarizal Saleh


Merafak sembah dan menjunjung kasih atas keperihatinan dengan titah Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkaitan isu perumahan dengan membawa satu bahasa yang cukup tajam iaitu “Pribumi merintih, bumi dipijak milik orang”.

Salah siapa? Kerajaan pusat, kerajaan negeri, anak syarikat kerajaan negeri atau pemaju yang semestinya dipersalahkan kerana rumah mahal yang tidak mampu dimiliki rakyat ketika ini sepertimana yang dititahkan tuanku.

Bercakap tentang kerajaan pusat yang kini giat memperkenalkan projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang bertujuan untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana.


Apa yang sudah jadi dengan projek PR1MA, berapakah yang sudah dimiliki rakyat setempat khasnya dan memadai kos rumah tersebut yang mampu dibayar rakyat yang berpendapatan rendah khasnya penduduk bandar pada masa kini?

Sudah tentu jika di negeri Perak, berapakah rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri melalui 2 agensinya seperti Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Negeri Perak dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI)?

Bagaimana pula dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dimana di bawahnya banyak anak syarikatnya memfokuskan projek perumahan sudah membangunkan projek perumahan kos rendah yang mampu dibeli rakyat yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) khasnya.

Kepada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) pula, sudahkah bantuan disediakan khasnya kepada golongan miskin yang memerlukan rumah dengan didirikan rumah tersebut sepanjang setahun sudah mencapai sasaran yang sepatutnya?

Orang paling penting di dalam isu ini sudah tentu pemaju hartanah yang saban tahun mendapat kawasan strategik bagi projek perumahan mereka dan di situlah harga diletakkan berdasarkan kedudukan tanah yang dimiliki mereka.

Dengan cara mana pun mereka memiliki tanah bagi tujuan projek perumahan tersebut, hakikatnya mata wang sudah tentu menjadi penilaian setiap rangka projek tersebut dimulakan dan sudah tentu nilai mata wang negara menjadi kayu ukur tawaran yang akan diberikan.

Siapa yang bertanggungjawab atas ekonomi negara, sudah tentu kerajaanlah yang menjadi “tulang belakang” kedudukan nilai mata wang negara dan jika dinilai pada masa kini, sudah tentu pemaju hartanah meletakkan syiling yang tinggi setiap projek perumahan mereka.

Walaupun bukanlah sepenuhnya tanggungjawab kerajaan negeri dan agensinya memfokuskan pembangunan perumahan untuk rakyatnya, tetapi agenda perumahan untuk rakyat terendah wajar bagi kerajaan negeri mengambil usaha untuk dibantu.

Satu lagi peranan kerajaan negeri yang kurang diberikan perhatian adalah cukai tanah dan pintu yang membolehkan pemaju hartanah menilai kos projek perumahan yang bakal disediakan termasuklah setelah rakyat memilikinya yang tidak terlalu tinggi.

Dan pihak kerajaan juga boleh memperkenalkan “pinjaman tanpa faedah” yang membolehkan rakyat miskin khasnya membuat pinjaman untuk membeli rumah mereka dan ianya akan turut kembali menambahkan hasil negeri melalui cukai lain kelak.

Pemaju hartanah sewajarnya menimbang kembali projek perumahan yang dijalankan dengan memikirkan keuntungan semata-mata sedangkan mereka tidak sedikit pun menyumbang kepada pembangunan sosial dalam masyarakat kita.

Jesteru, titah tuanku wajar diteliti semua pihak dan rakyat perlu bangkit mengikut “kata hati” iaitu hak dan peranan mereka di bawah mana-mana kerajaan sekali pun akan memastikan keutamaan serta kehidupan rakyat mereka terjamin sepenuhnya.

Maksud kepada jaminan kerajaan tersebut adalah memastikan istilah kebajikan dan keperluan rakyat sepertimana yang dikisahkan di dalam Al-Quran iaitu kediaman atau rumah menjadi perkara penting setiap manusia yang perlu diutamakan.

Dalam kata lain, jika tempat berteduh sesebuah keluarga itu cacat atau kurang apakah maknanya ada sebuah pentadbiran kerajaan yang menjadi tempat rujukan dan bantuan ketika rakyat memerlukan ditambah dengan keadaan yang begitu terdesak ketika ini.

Saya sebagai seorang rakyat yang memilih tonggak pemerintahnya tidak mampu melakukan apa-apa yang sewajarnya mengikut kuasa yang ada seperti menyediakan perumahan “mampu milik” dan bukannya “mampu lihat” sepertimana titah tuanku. Daulat tuanku!

‪‎* Penulis adalah Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak.

Tiada ulasan: