Khamis, 14 Januari 2016

Razali: Perbahasan TPPA boleh diteruskan selepas tandatangan

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Parlimen boleh terus membahaskan mengenai penambahbaikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selepas perjanjian itu telah ditandatangani, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Razali Ibrahim.
 
Razali berkata demikian ketika ditanya malam tadi sama ada sesi khas parlimen selama dua hari mengenai TPPA pada 26 dan 27 Januari ini mencukupi.
 
"Kita kalau nak tandatangan pun, (ia akan) dilaksanakan sepenuhnya pada 2018. Sudah tentu perbahasan tu boleh diteruskan.
 
"Yang penting dua hari ini ialah (untuk mengundi) sama ada nak tandatangan ke tidak.
 
"Cukuplah. Biasanya orang tandatangan (perjanjian) satu dua hari saja kan, sama sajalah," kata Razali.
 
"Setiap keputusan perlu diikuti dengan beberapa dasar dan peraturan yang mungin dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan ia tidak jejaskan apa yang kita lakukan sekarang," tambahnya.
 
Sementara itu, Bernama melaporkan Razali berkata kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat terhadap perkara itu sehingga ia benar-benar dapat diterima demi kepentingan negara secara keseluruhan.
 
Malaysia, katanya, masih mempunyai banyak masa untuk mendengar pandangan rakyat sebelum ia ditandatangani pada 2018, namun persidangan khas Dewan Rakyat selama dua hari mengenai TPPA adalah amat penting.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan mengenai penambahbaikan TPPA bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) di ibunegara semalam.
 
"Kita ada masa dua hari, iaitu pada 26 dan 27 Januari depan untuk bahaskan perkara ini (di Dewan Rakyat) sebelum muktamadkan perjanjian ini.
 
"Kalau dua hari itu kita benar-benar terbuka melihat kepentingan TPPA, ia memadai untuk memberi persetujuan sama ada meneruskannya atau tidak," katanya.
 
"Yang penting dua hari ni nak tandatangan atau tidak... selepas itu perbahasan masih boleh diteruskan," katanya.
 
Mengenai program malam ini, Razali berkata ia bertujuan membincangkan bagaimana mereka (NGO) boleh memberi pandangan untuk menerangkan kepada rakyat bukan dalam konteks kerajaan tetapi sebagai NGO.
 
"Kita hendak cari jalan bagaimana kita dapat berikan penerangan dalam konteks yang mudah dan segar supaya rakyat boleh faham mengenai perjanjian ini," katanya.
 
Turut hadir Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad.
 
Rundingan TPPA yang dimuktamadkan pada 5 Oktober lepas, melibatkan Malaysia dan 11 negara lain termasuk Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
 
 

Tiada ulasan: