Selasa, 19 Januari 2016

Rafizi hadir program PAN kerana utamakan 'keluarga' - Salahuddin

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic




SHAH ALAM: Kehadiran Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli ke program anjuran Parti Amanah Negara (PAN) di Kelantan baru-baru ini adalah kerana mengutamakan 'keluarga' sendiri, kata Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub.

Ujar Salahuddin, sebagai kepimpinan tertinggi PKR, Rafizi hadir sebagai memenuhi undangan, tambahan pula PKR dan PAN telah menandatangani perjanjian bersama sebagai sekutu Pakatan Harapan bersama DAP, dua minggu lalu.

"Saya menghargai keputusan Rafizi untuk hadir ke Kelantan baru-baru untuk memenuhi undangan PAN kerana Rafizi kepimpinan tinggi PKR mengutamakan keluarga sendiri iaitu Pakatan Harapan (PH).

"Sebab kita bukan sekadar tubuhkan PH tapi ketiga-tiga parti telah menandatangani persetujuan yang kita setujui bersama bahawa kita parti PH akan saling bantu-membantu dan mengutamakan kepentingan bersama," katanya kepada Antarapos.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, yang menyatakan pihaknya mengeluarkan surat teguran kepada Rafizi susulan tindakan pemimpin itu hadir dalam tiga program PAN di negeri berkenaan.

Surat teguran itu dikeluarkan hasil luahan ahli dan pimpinan peringkat akar umbi yang kurang senang dengan tindakan pemimpin PKR itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula dalam kenyataannya semalam berkata, kehadiran pemimpin PKR dalam program anjuran PAN di Kelantan dianggap menyanggah kepentingan PAS, apatah lagi ia untuk menghentam parti Islam berkenaan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, memandangkan pada ketika ini PAN tidak mempunyai sebarang hubungan dengan PAS, maka parti itu tiada asas untuk mengganggu aktiviti yang dianjurkan PAN.  
"Bila kita menubuhkan PH, mereka (PAS) tak mahu bersama. Jadi bagi saya kita tak terikat apa-apa dengan PAS pada saat dan ketika ini," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Chang Lih Kang yang mencadangkan agar sebahagian kerusi majoriti Cina milik DAP diserahkan kepada PAN, berkata sebarang perbincangan mengenai kerusi akan diselesaikan di peringkat PH.

"Bagi saya sendiri, apa pun perbincangan mengenai kerusi ini yang kita telah persetujui dan tandatangan, semuanya akan kita selesaikan di peringkat PH, dan kemudian baru kita buat keputusan," kata bekas Timbalan PAS itu.

Chang yang juga ADUN Teja yang dipetik sebuah portal mencadangkan perkara berkenaan sebagai usaha untuk meyakinkan bahawa DAP sebuah parti berbilang kaum.

Ujar Chang, sebagai pertukarannya, DAP boleh bertanding di kerusi majoriti campuran atau majoriti Melayu yang dijangka diperuntukkan kepada PAN.

Tambah Chang, punca DAP menghadapi masalah persepsi di kalangan pengundi Melayu walaupun cuba berusaha keras memenangi hati bangsa itu adalah disebabkan modus operandi parti berkenaan yang aktif dalam politik di kawasan majoriti Cina sahaja.

Tiada ulasan: