Ahad, 3 Januari 2016

Program yang dihadiri Hadi dan Husam berbeza - Mahfodz

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Aziz

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Datuk Husam Musa tidak wajar menyamakan kehadirannya dalam majlis makan malam anjuran Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan malam tadi dengan jemputan yang diterima Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad sebaliknya menegaskan majlis yang dihadiri Presiden PAS itu dianjurkan oleh persatuan tertentu, sedangkan Husam hadir dalam program anjuran seteru politik mereka.  
 
"Jadi tidak bolehlah hendak membuat andaian sendiri dan hendak membuat kias sendiri yang dia (Husam) boleh hadir ke majlis musuh politik PAS sedangkan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 itu bukan anjuran Umno tetapi dianjurkan oleh bekas-bekas pelajar (Alumni Universiti Al-Azhar)," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
 
Beliau mengulas dakwaan Husam yang mendakwa bahawa tindakannya itu mendapat 'restu' daripada PAS yang kini dilihat terbuka dalam mengadakan pertemuan dengan parti lain terutamanya dalam isu nasihat-menasihati. 
 
Husam berkata tindakan beliau yang hadir dalam majlis anjuran PAN itu adalah selari dengan kehadiran Hadi pada majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang turut disertai Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
 
Mahfodz dalam pada itu menegaskan kehadiran Hadi pada majlis Disember tahun lepas telah pun dirujuk ke PAS Pusat terlebih dahulu.
 
Berbeza dengan Husam yang tidak merujuk terlebih dahulu kepada PAS Pusat.
 
"Sepatutnya (Husam) tidak boleh menyamakan keadaan beliau dengan Presiden PAS, kerana (Datuk Seri Abdul Hadi) hadir itu telah diputuskan oleh PAS Pusat, mereka hadir ke Multaqa itu pun dimaklumkan kepada AJK PAS Pusat.
 
"Husam pula tidak maklum, jadi dia buat kias sendiri, jadi kiasnya itu tidak betul dan hendak disamakan dengan Presiden PAS," katanya.
 
Dalam perkembangan yang sama, Mahfodz berkata, tindakan Husam itu juga membayangkan kedudukannya sekarang dalam PAS.
 
"Jadi itu sudah ada petanda-tanda yang dia sudah tidak jelas kedudukannya. Pasal kalau dia memang betul-betul sayangkan PAS sedangkan PAN itu tidak sehaluan dengan PAS, tambah pula mereka yang keluar daripada PAS, jadi sepatutnya dia tahulah," katanya.
 
Kehadiran Husam malam tadi merupakan kali pertama beliau hadir ke majlis anjuran PAN.
 
Turut hadir pada majlis makan malam yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu ialah Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta beberapa pimpinan DAP yang lain.
 
ADUN Salor itu juga yakin bahawa beliau tidak akan dipecat oleh PAS kerana kehadirannya ke majlis tersebut memandangkan parti Islam itu merupakan sebuah parti yang adil dan baik.
 
 

Tiada ulasan: