Jumaat, 29 Januari 2016

Potong biasiswa tapi biarkan skandal rasuah berleluasa

zairil2 jpa

Roketkini.com


KUALA LUMPUR : Rakyat Malaysia tidak dapat menerima pemotongan peruntukan program biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika gejala rasuah dan skandal kewangan pemimpin utama kerajaan menjadi-jadi.

Sepatutnya, Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi, Zairil Khir Johari , berkata Kerajaan UMNO BN mengurangkan ketirisan dan skandal kewangan, bukannya memotong peruntukan empat program biasiswa JPA antara 20 hingga 60 peratus.

“Berpuluh-puluh bilion ringgit dibazirkan melalui skandal kewangan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Zon Bebas Pelabuhan Klang, Forex Bank Negara dan lain-lain.

“Mengikut laporan badan pemerhati kewangan, Global Financial Integrity terbitan bulan lalu, Malaysia kehilangan USD48.25 bilion pada 2013 melalui aliran keluar wang haram berpunca dari pengelakan cukai, jenayah, rasuah dan aktiviti haram lain.

“Dengan memperkenal dasar perolehan lebih telus seperti tender terbuka, merombak monopoli tidak kompetitif dan mengurangkan amalan mencari sewa, simpanan kira-kira RM30 bilion atau lebih 10 peratus Bajet 2016 boleh dicapai,” katanya.

Beliau mengulas pemotongan peruntukan 20 hingga 60 peratus bagi empat program biasiswa iaitu program Biasiswa Nasional, program Khas Kejuruteraan, program Lepasan Bursari dan program Ijazah Pertama dalam Negara yang dibentang Perdana Menteri, semalam.

Program Biasiswa Nasional untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik dipotong daripada 50 kepada 20 orang, pemotongan 60 peratus dan program Khas Kejuruteraan dari 300 kepada 200 orang, iaitu pemotongan 33 peratus.

Selain itu, lebih 250 pelajar program Lepasan Bursari dan lebih 2,000 pelajar program Ijazah Pertama Dalam Negara akan ‘dikorbankan’ kerana peruntukan dikurangkan, masing-masing mengalami pemotongan antara 25 peratus dan 21 peratus.

“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan memotong peruntukan biasiswa kerana ia mengorbankan masa depan anak muda.

“Apabila RM500 juta boleh dibayar sebagai ‘komisen’ bagi pembelian kapal selam dan RM250 juta pinjaman mudah diberi atas dasar kronisme, ia mempersenda lebih 2,000 anak muda dengan potensi besar yang bekerja keras tapi dinafi peluang melanjutkan pelajaran,” katanya.

Selain mengurangkan amalan ketirisan dan skandal kewangan, Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, banyak program boleh dimansuh antaranya Jabatan Hal Ehwal Khas, Biro Tatanegara (BTN), TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). -Roketkini.com


Tiada ulasan: