Khamis, 14 Januari 2016

PKR dakwa 1MDB guna RM3.48 bilion dana awam naik taraf pangkalan tentera udara

THE MALAYSIAN INSIDER

Skandal pembiayaan kerja-kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan udara yang melibatkan 1MDB kini menjadi lebih rumit dan Datuk Seri Najib Razak digesa menjelaskannya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Januari, 2016.Skandal pembiayaan kerja-kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan udara yang melibatkan 1MDB kini menjadi lebih rumit dan Datuk Seri Najib Razak digesa menjelaskannya. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
PKR hari ini mendakwa syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggunakan dana awam dalam bentuk geran sebanyak RM3.48 bilion daripada Putrajaya untuk membiayai kos kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan tentera udara. 
 
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, jumlah keseluruhan dana yang diambil 1MDB dalam bentuk terbitan sukuk sebanyak RM2.4 bilion dan geran kerajaan persekutuan sebanyak RM1.0865 bilion.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, jumlah tersebut jauh melebihi kos keseluruhan projek diumumkan 1MDB sebanyak RM2.7 bilion.

"Malangnya, 1MDB sendiri mengakui hanya RM800 juta yang sudah dibayar setakat ini dan RM1.9 bilion masih berbaki. 
 
 “Maka, skandal pembiayaan kerja-kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan udara yang melibatkan 1MDB kini menjadi lebih rumit dan Datuk Seri Najib Razak sendiri perlu menjelaskan perkara-perkara tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rafizi, perdana menteri perlu menjelaskan tindakan kerajaan meluluskan geran kepada 1MDB sebanyak RM1.0865 bilion untuk membiayai sebahagian kerja-kerja tersebut.

Katanya, tindakan itu membangkitkan persoalan kerana kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan tentera udara merupakan tanggungjawab kewangan 1MDB.

"Ia mengikut perjanjian dengan kerajaan sebagai pertukaran syarikat sarat hutang itu mendapat tanah di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi pada harga yang rendah," katanya.

Rafizi juga turut mempersoalkan di mana baki geran sebanyak RM286.5 juta sekiranya benar dakwaan 1MDB mereka hanya membayar RM800 juta kepada kontraktor daripada jumlah keseluruhan dana awam diterima sebanyak RM1.0865 bilion.

"Jika keseluruhan bayaran kepada kontraktor sebanyak RM800 juta kini ditanggung kerajaan persekutuan melalui geran ini, ke mana pula keseluruhan dana RM2.4 bilion daripada terbitan sukuk yang sepatutnya digunakan bagi menanggung kos projek ini?

"Jumlah RM3.4865 bilion yang terbabit di dalam skandal ini melebihi RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib.

"Beliau wajar meminta maaf kepada rakyat kerana mengumumkan dengan bongkaknya masalah kewangan 1MDB diselesaikan tanpa melibatkan dana rakyat.

"Sedangkan Ketua Audit Negara sendiri mengesahkan RM1.0865 bilion dana rakyat disalurkan kepada 1MDB bagi menanggung kos yang sepatutnya dibayar 1MDB," katanya.


Tiada ulasan: