KUALA LUMPUR,  Seorang penyerang dalam letupan bom di Jakarta pada 14 Januari lalu, telah membuat panggilan kepada satu talian di negara ini, sebelum melancarkan serangan itu.


Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Mohd Harun berkata, maklumat itu diperolehi berdasarkan siasatan forensik yang dilakukan polis Indonesia.

“Kami (polis Malaysia) sedang menyiasat dapatan baru ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada 14 Januari lalu, berlaku serangan bom dan tembakan di Jalan MH Thamrin yang menyebabkan lapan maut, termasuk empat penyerang terbunuh, sementara 30 lagi, termasuk lima anggota polis cedera parah.

Ketua Polis Jakarta, Tito Karnavian dilaporkan sebagai berkata, pihaknya percaya pengasas kumpulan Katibah Nusantara, Muhammad Bahrun Naim yang merupakan ketua kumpulan pengganas Asia Tenggara, adalah perancang serangan tersebut.

Namun, Mohamad Fuzi berkata, berdasarkan siasatan, tiada penyerang di Jakarta merupakan rakyat Malaysia.

Mengenai kumpulan Daesh, beliau berkata, polis mengenal pasti terdapat komunikasi antara elemen Daesh rakyat Malaysia dan rakyat Malaysia di Syria.

“Apa yang kami dapati sekarang ialah terdapat komunikasi yang dibuat rakyat Malaysia di sini kepada rakan mereka yang juga rakyat Malaysia di Syria,” katanya.