Rabu, 13 Januari 2016

Penganalisis yakin kerajaan sertai TPP

TPP


SHAH ALAM – Penganalisis ekonomi yakin kerajaan akhirnya akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang dijadualkan, bulan depan.

Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Razli Che Razak berkata, keyakinan itu berdasarkan penerangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang dihadirinya sebanyak dua kali sebelum ini ditambah dengan hasil pembacaannya.

“Saya jangka kerajaan akan tandatangan perjanjian TPP. Seratus peratus,” katanya kepada Sinar Online.
Menurutnya, dalam sesi penjelasan yang diberikan Miti dan Menterinya, Datuk Seri Mustafa Mohamed itu, beliau ada membangkitkan soal implikasi terhadap negara-negara yang pernah menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat.

“Mereka menjawab bahawa kesan-kesan itu pada jangka masa panjang akan mendatangkan kebaikan. Pada sesi penerangan Miti itu, penjelasan diberikan memuaskan dan melalui itu saya menjangkakan kerajaan akan tandatangan.

“Cuma saya bimbang apabila ada artikel yang disiarkan hari ini memetik Prof Jomo (Prof Dr Jomo Kwame Sundaram) mempertikai TPP,” katanya.

Prof Jomo yang merupakan Penolong Ketua Pengarah dan Penyelaras Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Makanan dan Pertanian bagi tahun 2012-2015 dilaporkan berkata bahawa konsensus perjanjian TPP akan melebarkan lagi jurang ketidaksamaan dan meningkatkan jumlah kehilangan pekerjaan sepanjang 10 tahun di kalangan negara anggotanya.

Sehubungan itu, Prof Razli yang juga Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara tidak dapat mengulas lanjut kenyataan Prof Jomo kerana masih belum meneliti hasil kajian yang dirujuk Prof Jomo berkenaan.

Mengulas lanjut, Prof Razli turut menjangkakan bahawa kerajaan mampu meyakinkan rakyat dengan sesi penerangan yang dijalankan.

“Saya fikir kerajaan mampu yakinkan rakyat sebanyak 80 peratus. 20 peratus lagi itu masih ada yang tidak yakin bahawa atas alasan kerana isu yang sebelum ini pun tidak dikendalikan sebaiknya.

“Contohnya masalah kenaikan harga yang masih lagi berlaku walaupun kerajaan bertungkus-lumus, tapi itu (kenaikan harga) berlaku. Jadi, rakyat melihat, ada sedikit ketidaksetujuan itulah,” katanya.

Menilai TPP dari sudut positif, Prof  Razli melihat kandungan perjanjian itu dari konteks daya saing kepada negara-negara anggota.

“Negara mesti bersedia untuk merentasi dunia persaingan yang semakin tanpa sempadan ini. Di mana jika kita tidak sertai, kita akan ketinggalan. Cuma ada beberapa isu antaranya, adakah rakyat Malaysia dengan modal insan sedia ada itu bersedia menghadapi dunia yang penuh persaingan itu? Sebab mobiliti modal insan akan berlaku selepas ini.

“Jadi, ramai rakyat takut untuk bersaing. Itu isu utamanya. Tapi tidak boleh tidak, dalam dunia sekarang ini, kita perlu bersaing antara satu sama lain. Kalau kita tidak menyertainya, orang lain akan sertai. Itu sahaja,” katanya.

Persidangan khas selama tiga hari akan diadakan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bermula 26 Januari ini bagi membincangkan penyertaan Malaysia dalam TPP.


Tiada ulasan: