KUALA LUMPUR,  Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu menjelaskan perkara-perkara berbangkit susulan kenyataannya mengenai dana sumbangan RM2.6 bilion dan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yakin Mohamed Apandi mampu berbuat demikian, kerana rakyat perlu memahami keputusan tersebut.

“Saya fikir dalam soal ini, tanggungjawab Peguam Negara juga untuk menjelaskan, kalau ada perkara-perkara lain yang ditimbulkan, kerana dalam soal ini, rakyat ingin memahaminya, tetapi sekurang-kurangnya itu satu keputusan yang telah dibuat.

“Tetapi, kalau ada hal-hal yang tidak puas hati, saya percaya Peguam Negara dapat menjelaskannya dengan lebih sempurna lagi, dengan data dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada rakyat akan curiga dengan kenyataan Mohamed Apandi hari ini yang mengatakan tiada unsur rasuah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap dana sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya dan juga berkaitan SRC.

Menurut Ahmad Shabery, apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk menunjukkan kesungguhan dalam menimbang baik dan buruk sesuatu isu itu.

“Apa juga yang kita akan buat dari Parlimen, kerana Parlimen adalah cerminan kepada kemahuan rakyat dalam negara yang mengamalkan sistem berparlimen.

“Kalau kita harus mempunyai keyakinan apa yang dijelaskan itu adalah satu yang benar-benar mengikut undang-undang, seperti mana yang ada dalam sistem.

“Sebab itu bagi kita, sekiranya hal-hal yang bersangkutan dengan tabung parti dan sebagainya, kalau perlu ada suatu undang-undang khas untuk setiap individu menguruskan tabung menurut undang-undang baru, maka perkara ini boleh dibawa ke Parlimen, supaya negara kita ada sistem yang lebih jelas,” katanya.