Ahad, 17 Januari 2016

PDRM nafi militan IS sasar lokasi tertentu di ibu kota

Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan yang tersebar melalui laman sosial yang mendakwa kumpulan militan IS telah menetapkan beberapa lokasi di ibu kota untuk melancarkan serangan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan melalui laman Twitternya berkata, semua pihak diminta hentikan membuat spekulasi berhubung keadaan keselamatan bandaraya atau negara  yang boleh merunsingkan rakyat di negara ini.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa menyifatkan penyebaran berita palsu itu adalah bertujuan untuk menakutkan masyarakat.

“Setakat ini tiada laporan Cawangan Khas PDRM mengenai ancaman serangan itu, saya menyeru orang ramai tidak terpengaruh dengan kenyataan yang tidak dapat dipastikan kesahihan, sebaliknya
menghubungi pihak polis,” katanya hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis nafi wujud senarai lokasi serangan militan IS]

Beliau berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan, meningkatkan rondaan dan kawalan di tempat tumpuan orang ramai.

“Anggota kita mencukupi untuk melakukan rondaan di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Berita mengenai ancaman serangan pengganas disebarkan oleh pihak tertentu melalui WhatsApp dengan menyenaraikan beberapa lokasi seperti KLCC, stesen kereta api, pusat membeli belah, restoran makanan segera dan pengangkutan awam sebagai tumpuan serangan itu.

Tiada ulasan: