Isnin, 18 Januari 2016

Pascal bawa kes pembunuhan bapa ke PBB

MALAYSIAKINI


 


Pascal Najadi, anak pengasas Ambank yang ditembak mati, Hussain Najadi akan membawa kes pembunuhan bapanya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas hilang kepercayaan terhadap sistem undang-undang Malaysia.

"Peguam kami di Kuala Lumpur, Malaysia, Gobind Singh Deo, telah menasihatkan bahawa adalah sia-sia untuk melalui mahkamah bagi mendapatkan siasatan yang betul oleh Jabatan Peguam Negara dalam pembunuhan Hussain Najadi.

"Oleh itu, kami telah membuat keputusan bersama-sama dengan peguam antarabangsa jenayah Nick Kaufman untuk membawa kes ini ke PBB di Geneva, Switzerland," kata Pascal dalam satu kenyataan hari ini.

Nick Kaufman adalah peguam jenayah antarabangsa dan bekas pendakwa di Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

Pascal mendakwa ada yang diselindungi dalam kes pembunuhan bapanya.

"Semua petanda yang kami terima setakat ini dari Malaysia menunjukkan ada alasan kukuh untuk mempercayai bahawa terdapat campur tangan kerajaan bagi menutup kes ini,” katanya.

Menurut Pascal, Pejabat Peguam Negara dan polis cuba menutup kes selepas dua tahun Interpol mengeluarkan notis merah ke atas dalang yang dikatakan terbabit itu.

Katanya lagi, polis yang berjaya menahan lelaki yang disyaki itu, Lim Yuen Soo juga enggan berkongsi maklumat dan soal siasat dijalankan tanpa kehadiran Gobind Singh, peguam Malaysia yang mewakili keluarganya itu.

Hussain, 76, meninggal dunia, manakala isterinya cedera parah selepas mereka ditembak ketika muncul dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur pada 29 Julai 2013.

Penembak itu, Kong Swee Kuan, dijatuhi hukuman mati pada 2014 kerana membunuh.

Lim dipercayai membayar Kong untuk bertindak dan namanya diletakkan dalam notis merah Interpol selepas didapati dia melarikan diri.

Beliau akhirnya ditahan polis pada Oktober tahun lalu ketika kembali ke negara ini tetapi dibebaskan selepas lapan hari dari tahanan atas alasan tiada bukti yang mencukupi.


Tiada ulasan: