Isnin, 11 Januari 2016

PAS keluar pekeliling larang ahli sertai program PAN, DAP

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mengeluarkan pekeliling bagi melarang ahlinya daripada bekerjasama atau terlibat dengan mana-mana aktiviti Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP di semua peringkat, demi memelihara keutuhan dan perpaduan parti Islam itu serta mengelakkan pelanggaran perlembagaan parti. 
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, arahan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Januari lalu. 
 
Bagaimanapun, ahli PAS yang ingin menyertai aktiviti politik anjuran parti politik yang bukan membabitkan kedua-dua parti politik itu boleh berbuat demikian dengan mendapat kebenaran Jawatankuasa Pusat.

"Ahli-ahli PAS dilarang mengambil bahagian, melibatkan diri, bekerjasama atau menyertai sebarang program atau aktiviti PAN dan DAP di semua peringkat.

"Ahli-ahli PAS perlu mendapat kebenaran Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum menghadiri sebarang jemputan program/aktiviti politik dan seumpamanya dari mana-mana parti politik lain (selain dari PAN dan DAP yang dilarang terus sebagaimana (i) di atas,"  menurut pekeliling yang dikeluarkan PAS, bertarikh 9 Januari.

Pekeliling itu ditujukan kepada setiausaha perhubungan PAS negeri dan Wilayah Persekutuan dan dewan-dewan peringkat pusat untuk disampaikan kepada ahli di peringkat bawah.

Pekeliling itu dibuat tidak berapa lama selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berada sepentas di majlis Alumni Al Azhar Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia juga dikeluarkan selepas bekas naib presiden PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa menyertai majlis PAN dan DAP baru-baru ini.

Husam menyertai dan berucap di Majlis Makan Malam PAN Kelantan pada 1 Januari di Petaling Jaya dan menyertai majlis DAP di Johor pada malam esoknya.

Berdasarkan arahan itu, ahli dan pemimpin PAS boleh menyertai program mana-mana parti politik, termasuk Umno dengan syarat mendapat persetujuan parti, tetapi tidak boleh sama sekali menyertai program anjuran PAN dan DAP.

Tiada ulasan: