Rabu, 13 Januari 2016

Parti Islam, Sosialis demo tolak TPPA pada 23 Januari

MALAYSIAKINI


 


Perbezaan ideologi bukan halangan untuk PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sama-sama menyatakan bantahan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Parti Islam dan parti haluan kiri itu merancang berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 23 Januari depan bagi memberi tekanan kepada kerajaan bagi menolak TPPA.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan (gambar) hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia menentang “kebatilan” dan “kemungkaran” tidak kira dalam bidang politik atau ekonomi.

“TPPA sebahagian dari kemungkaran ekonomi yang wajar ditentang dan dibantah oleh umat Islam khasnya,” kata anggota parlimen Temerloh itu.

“TPPA bakal membawa malapetaka kepada penguasaan ekonomi rakyat tempatan dan masa depan negara yang bakal terjajah tanpa sedar melalui sebuah perjanjian yang menambat kaki dan tangan kita.”

PAS berpandangan TPPA akan mengancam hak bumiputera, memusnahkan industri tempatan,
harga barangan meningkat dan rakyat akan “bangsat” di bumi sendiri.

Berarak 1.5km

Sementara itu, Setiausaha Agung PSM A Sivarajan pua berkata mereka akan berarak daripada Maju Junction ke Dataran Merdeka, yang jaraknya kira-kira 1.5km.

Bantahan itu akan diadakan dalam tempoh 24 jam sebelum parlimen membuat keputusan dalam sidang khas dua hari bagi membahaskan sama ada mahu menandatangani TPPA atau tidak.

“Kami gesa rakyat bersama-sama kami di perhimpunan kemuncak dan penting untuk menghalang TPPA.

“Sudah jelas lagi nyata bagaimana TPPA akan jejaskan hak kita untuk perubatan mampu, keselamatan kerja, pendidikan mampu dan sebagainya,” kata Sivarajan dalam kenyataannya.

Tiada ulasan: