KUALA LUMPUR,  Serpihan logam besar yang ditemui di pantai Nakhon Si Thammarat, di selatan Thailand, bukan bangkai pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand dan juga pasukan penyiasat lain mengenai penemuan objek itu, minggu lalu.

Jelasnya, melalui kerjasama dengan rakan-rakan sejawatan di Thailand, pasukan Malaysia yang terdiri daripada pegawai DCA, kementeriannya dan Malaysia Airlines telah memeriksa objek logam besar itu bagi mengenal pasti asal-usulnya.

“Daripada laporan terperinci mereka, mereka telah memastikan nombor bahagian pemasangan, nombor wayar berkas dan nombor bahagian bolt-bolt tidak sepadan dengan Boeing 777,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Reuters melaporkan penemuan objek besar itu telah mencetuskan spekulasi di kalangan media negara gajah putih itu yang mengaitkan ia dengan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Satu serpihan logam besar ditemui di Pulau Reunion, di Perancis pada Julai tahun lalu dan disahkan milik MH370, namun tiada petunjuk lain yang ditemui sehingga kini, lapor agensi berita.

Liow berkata, nombor-nombor bahagian pada serpihan yang ditemui di selatan Thailand, minggu lalu, tidak disenaraikan dalam buku panduan Katalog Bahagian-Bahagian Bergambar MAS B777.

Berdasarkan maklumat-maklumat itu, katanya, pasukan terbabit mengesahkan serpihan itu bukan milik sebuah pesawat B777 9M-MRO (MH370).

“Kementerian ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan Thailand dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand untuk tindakan pantas dan sokongan dalam memudahkan proses pengenalpastian.

“Kami terus bersama keluarga dan orang tersayang penumpang-penumpang serta anak kapal MH370. Kami akan memaklumkan waris dan orang ramai mengenai perkembangan terbaru MH370,” katanya.

Tambahnya, kerajaan kekal komited untuk meneruskan pencarian pesawat itu di selatan Lautan Hindi.