Jumaat, 8 Januari 2016

‘Norieen tak boleh pandang SK Tohoi’

‘Norieen tak boleh pandang SK Tohoi’
Norieen menghabiskan masa setiap hari di rumah ibu saudaranya di Kampung Penad.
 


GUA MUSANG - Dua keluarga murid Orang Asli yang ditemui selamat di Pos Tohoi sedia menghantar anak mereka ke sekolah, namun ingin berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) bagi menyelesaikan beberapa perkara.

Mereka mengakui Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 12, belum ke sekolah bukan kerana masalah jalan rosak, sebaliknya banyak masalah yang perlu diselesaikan.

Ibu Norieen, Midah Angah, 41, berkata, dia mementingkan pelajaran anaknya itu, namun Noreen dilihat masih belum pulih sepenuhnya.

Menurutnya, anaknya itu masih trauma hingga tidak dapat meneruskan persekolahan di sekolah sama.

“Kita memang pentingkan pelajaran Norieen, namun dia masih trauma dengan kejadian lalu hingga tidak boleh memandang SK Tohoi.

"Selepas buat perbincangan dan masalah selesai, kita akan hantar Norieen ke sekolah pilihannya khususnya Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis,” katanya.

Norieen dan rakannya, Mirsudiar dari Kampung Gawin adalah dua murid yang ditemui hidup dalam kejadian tujuh murid Orang Asli SK Tohoi hilang pada 23 Ogos lalu.

Belum lapor diri

Sehingga kini kedua-duanya masih belum melaporkan diri di sekolah itu walaupun sesi persekolahan dibuka Ahad lalu.

Midah berkata, sehari sebelum sesi persekolahan dibuka, kenderaan sudah mengambil pelajar sekolah menengah sekitar Bandar Gua Musang dari Kampung Penad dan Gawin, namun anaknya itu tidak ikut sama.

“Sebelum ini, kami sebagai ibu juga tidak dapat menerima hakikat kejadian menimpa tujuh murid SK Tohoi dan kami ingin bincang banyak perkara dengan Pengarah JPNK,” katanya.

Bagi ibu Mirsudiar, Rosita Bahir, 41, anaknya yang rapat dengan Norieen akan mengikut keputusan dibuat rakannya itu.

Katanya, Mirsudiar sudah mula bersemangat untuk meneruskan persekolahan dan ketika berada di rumah, Mirsudiar banyak menghabiskan masa membaca buku bersama adiknya bagi menghilangkan trauma kejadian tersebut.

“Kami tidak ada niat untuk boikot sekolah SK Tohoi, tetapi kami akan jumpa guru besar untuk mengambil surat perpindahan sekolah anak kami nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dia juga mengakui murid lain yang tinggal di kampung itu dan enam kampung lain masih belum ke sekolah kerana mahu berpindah ke SK Kuala Betis, berikutan takut tragedi 23 Ogos lalu berulang.

Akan temui keluarga murid

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Mara Kasmedee Che Abdul Rahman berkata, setakat ini, ibu bapa Noreen dan Mirsudiar belum membuat permohonan untuk berpindah sekolah.

Beliau berkata, murid Orang Asli dari kampung terbabit belum ke sekolah SK Tohoi dan hingga pagi semalam, hanya terdapat 101 murid yang hadir membabitkan mereka yang tinggal sekitar Pos Tohoi.

“Manakala bagi Kampung Penad, Gawin dan kampung lain sekitar Pos Simpor, masih ada murid yang masih belum hadir tanpa diketahui alasannya.

"Kita mungkin akan mengadakan program turun ke kampung itu dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kejadian 23 Ogos tahun lalu, tujuh murid Orang Asli SK Tohoi hilang dari asrama dan dua daripada mereka ditemui hidup di bawah akar kayu di tepi Sungai Perias.

Empat ditemui mati iaitu Linda Rosli, 8, Juvina David, 7, Ika Ayel, 9 dan Haikal Yaakob, 8, manakala seorang lagi, Sasa Sobrie, 8, masih belum ditemui.


Tiada ulasan: