KUALA LUMPUR,  Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David terlepas peluang untuk merampas kembali takhta pemain nombor satu dunia, selepas tewas pada saingan separuh akhir Kejohanan Juara-juara di New York, Amerika Syarikat, pagi ini.


Nicol yang kini berada di ranking ketiga dunia, juga pilihan kedua kejohanan itu, tewas kepada pemain pilihan ketujuh dari Mesir, Nour El Sherbini 8-11, 5-11 dan 6-11 dalam masa 26 minit.

Nicol boleh merampas kembali kedudukan pemain nombor satu dunia yang kini dipegang Laura Massaro dari England, jika menjuarai kejohanan itu.

Menurut laman web rasmi kejohanan, www.tocsquash.com, Nicol bermula cemerlang, apabila menewaskan Victoria Lust dari England 11-2, 11-3 dan 11-2 pada pusingan pertama, diikuti kemenangan ke atas Annie Au dari Hong Kong 11-2, 11-5 dan 11-7 pada pusingan kedua.

Dalam saingan suku akhir pula, Nicol bertungkus-lumus menundukkan pemain dari Mesir, Omneya Abdel Kawy 11-6, 10-12, 10-12, 11-3 dan 11-5 dalam masa 56 minit.

Pada final kejohanan itu, El Sherbini dijadualkan bertemu Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat.