Adrian Wong Gah Junn
Seorang pakar ekonomi negara, Jomo Kwame Sundaran melontarkan soalan
mengapa Malaysia begitu berminat untuk menyertai Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) sedangkan negara-negara seperti Thailand dan
Filipina memilih untuk menjauhkan diri.
"Mengapa Thailand tidak berminat? Mengapa Filipina yang begitu rapat dengan Amerika Syarikat, tidak berminat?
"Adakah
terdapat begitu banyak manfaat yang Filipina dan Thailand tidak
nampak?" soalnya selepas menghadiri forum TPPA 2016, anjuran Persatuan
Ekonomi Malaysia.
Dalam kes Indonesia, jelas beliau, ada yang
berhujah bahawa negara itu mempunyai kerajaan yang baru dan ditambah
semangat nasionalisme yang menebal menyaksikan mereka menarik diri
daripada TPPA.
"Bagi
Singapura pula, mereka mempunyai lebih banyak konsesi daripada apa yang
terdapat dalam TPPA. Jadi bagi mereka, perjanjian itu tidak membebankan
langsung.
“Brunei adalah sebuah negara yang kecil yang tidak cuba untuk membangunkan. Harapan mereka minyaknya akan kekal selama-lamanya.
"Dalam
kes Vietnam, mereka telah buat pengiraan Mereka pernah berperang dengan
China kira-kira 35 tahun yang lalu, mereka mempunyai banyak masalah
dengan China, mereka sangat kecewa dengan kerajaan China, jadi mereka
membuat keputusan strategik iaitu bersama Amerika Syarikat," kata bekas
pegawai kanan ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu.
Dengan
memeterai TPPA, Jomo berkata, Najib akan menguburkan ikrar bapanya,
Allahyarham Tun Abdul Razak Hussin yang mahu menjadikan ASEAN sebagai
'zon keamanan, kebebasan dan berkecuali (ZOPFAN).
Menurutnya, bukan menjadi rahsia bahawa agenda utama TPPA bagi Amerika Syarikat adalah untuk mengecualikan China.
"Kita
boleh fahami, mengapa Vietnam, bekas seteru ketat Amerika berminat
untuk menyertai TPPA iaitu untuk menguatkan hubungan dua hala dengan
jiran gergasinya yang sukar itu.
"Tetapi mengapa kerajaan Malaysia
begitu berminat untuk menyertai sedangkan manfaat ekonominya adalah
meragukan serta risiko yang besar yang terlibat?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan