Jumaat, 29 Januari 2016

Mengapa AG sekat SPRM dapatkan penyata bank RM2.6b?

Zikri Kamarulzaman


 


Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mesti menjelaskan mengapa beliau tidak membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan penyata bank luar negara yang berkaitan dengan sumbangan RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Panel Penilaian Operasi SPRM, Lim Chee Wee berkata suruhanjaya itu memerlukan persetujuan Apandi dalam permohonan mereka mendapatkan bantuan undang-undang bersama (MLA) bagi memperolehi dokumen-dokumen berkaitan.

"Ini akan membantu melupuskan spekulasi cubaan untuk tutup oleh peguam negara dan derma yang didakwa itu adalah kononnya dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP)," katanya kepada Malaysiakini dalam e-mel hari ini.

Apandi pada Selasa lalu membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion dan isu SRC International.

Menurutnya, oleh kerana tidak ada kesalahan jenayah, maka tidak ada keperluan untuk membuat permintaan bagi mendapatkan MLA untuk tujuan melengkapkan siasatan.

Apandi juga memerintahkan SPRM untuk menghentikan siasatan.

Lim bagaimanapun berkata, peguam negara tidak mempunyai hak untuk membuat arahan sedemikian kerana dari segi undang-undang beliau wajib memberi persetujuan dengan permintaan mendapatkan MLA itu.

"Dari segi undang-undang, AG bersalah untuk mengarahkan SPRM untuk menutup siasatannya. Kuasanya adalah untuk mendakwa.

"SPRM berhak untuk meneruskan siasatan ke atas 1MDB dan bahawa AG mengikut undang-undang wajib memberi bantuannya bagi mereka mendapatkan MLA," katanya.

Lim yang juga adalah bekas presiden Majlis Peguam turut menggesa Apandi untuk menjelaskan mengapa beliau membebaskan Najib daripada sebarang pertuduhan.

Sebagai contoh, penasihat SPRM itu berkata Apandi perlu menjelaskan carta aliran yang dipegang beliau pada sidang akhbar Selasa lalu dan memberikan butir-butir sumbangan yang didakwa telah dipulangkan.

Lim juga mempertikaikan bahawa keputusan peguam negara itu tidak boleh dicabar.

"Keputusan peguam negara untuk mendakwa atau tidak boleh dicabar oleh mana-mana pembayar cukai di mana-mana mahkamah atau juga dipersoalkan oleh sesiapa sahaja di mana-mana ruang tamu, bilik mesyuarat, bilik lembaga, atau kedai kopi.

"AG tidak mempunyai budi bicara mutlak dalam kuasa pendakwaan. Ini adalah kedudukan undang-undang di Malaysia, Singapura dan United Kingdom," katanya.

Lim memberi jaminan kepada Apandi bahawa sekiranya beliau memegangan amanah sumpah jawatannya, beliau akan mendapat sokongan padu daripada rakyat jelata.

Tiada ulasan: