Rabu, 13 Januari 2016

Ling: Penyelesaian hanya jika PM hadir sendiri

Zikri Kamarulzaman


 


Bekas presiden MCA Tun Ling Liong Sik hanya akan bersetuju dengan proses mediasi dalam kesnya di mahkamah dengan Datuk Seri Najib Razak jika perdana menteri hadir sendiri.

“Lagi pun, kedua-dua perdana menteri dan Ling suatu masa pernah berkhidmat dalam kabinet yang sama.

“Jika tidak, mediasi sebegitu tidak akan berjaya,” menurut firma yang mewakili Ling, Ranjit Singh and Yeoh, dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditulis bagi pihak Ling.

Kenyataan itu menyebut, walaupun Ling setuju menyelesaikan kes itu, beliau tetap merasakan bahawa kebenaran dan ketelusan menjadi asas untuk sebarang perbincangan.

Semalam, peguam-peguam yang mewakili Najib dan bekas Ling bersetuju bahawa kes saman fitnah berkenaan dirujuk kepada mediasi.

Peguam Najib, Mohd Hafarizam Harun berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk berbuat demikian bagi melihat kemungkinan sama ada ia boleh diselesaikan secara baik.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 27 Oktober tahun lalu, Najib berkata Ling yang juga bekas menteri pengangkutan, mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan portal Malay Mail bertarikh 3 Oktober 2015.

Katanya, perkataan fitnah itu antaranya membawa maksud Najib menyalah guna dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalah guna dana 1MDB serta mengkhianati kepercayaan rakyat.

Ling memfailkan pembelaan dan tuntutan balas mempersoalkan mengapa beliau menjadi sasaran saman sedangkan ada ahli-ahli politik Umno lain yang juga mendesak Najib berundur.

Tiada ulasan: