JAKARTA,  Satu siri letupan yang menggegarkan ibu negara Indonesia, hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya empat terbunuh.

Letupan itu berlaku berhampiran Pusat Beli-belah Sarinah, di Jalan MH Thamrin, di mana mayat mangsa kelihatan bergelimpangan di jalan raya.

Tembakan juga berlaku di luar kafe Starbucks yang terletak di seberang Pusat Beli-belah Sarinah, ketika polis menghampiri tempat kejadian.

Sekurang-kurangnya enam letupan kedengaran dan sebuah pondok polis di hadapan pusat beli-belah itu turut mengalami kerosakan.

“Empat maut, iaitu seorang anggota polis dan tiga orang awam.

“Buat masa ini, insiden tembak-menembak telah berhenti, tetapi mereka (suspek) berjaya melarikan diri dan kami bimbang akan berlaku tembakan lagi,” kata jurucakap polis Indonesia, Anton Charliyan kepada AFP.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi tempat kejadian, kerana polis khuatir ada lebih banyak di kawasan berkenaan.

Setakat ini, tidak diketahui dalang di seballik serangan itu.

Sementara itu, agensi berita Bernama memetik seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Fandi memberitahu, dia berada tidak jauh dari tempat kejadian dan ternampak beberapa lelaki menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arah polis di dalam pondok polis berkenaan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, insiden berbalas tembakan berlaku antara polis dan lelaki tidak dikenali itu, disusuli letupan di pondok polis dan di luar pusat beli-belah itu.

Serangan itu berlaku beberapa minggu selepas Jakarta diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, susulan pendedahan polis anti-keganasan mengenai beberapa rancangan serangan berani mati di ibu negara Indonesia itu, sempena ketibaan tahun baru.

Akhir bulan lalu, polis memaklumkan dua lelaki ditahan, termasuk seorang ahli minoriti puak Uighur dari China, yang didakwa terbabit dalam rancangan melancarkan serangan nekad itu.

Selepas satu siri serangan ke atas warga asing pada dekad lalu, ekstremis Indonesia telah mengalih sasaran kepada “musuh Islam” domestik, kebanyakan polis.

Tiada serangan menyasarkan warga asing sejak dua letupan hotel di Jakarta, pada 2009 yang meragut tujuh nyawa.