Selasa, 19 Januari 2016

Lebih ramai Melayu wakili DAP bertanding PRU 14

jimmy-wong-edwin-bosi

Oleh Hafiz Zainuddin


KEPAYAN : Lebih ramai calon keturunan Melayu akan bertanding mewakili DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat, Dr Edwin Bosi.

“Akan ada lebih ramai kaum Melayu bertanding PRU14 kelak,” katanya kepada Roketkini apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak, baru-baru ini.

Salleh sebelum ini menulis pada blognya yang kemudian dipetik portal berita tempatan yang menuduh DAP tidak mengubah hakikat kononnya ia sebuah parti berasaskan kaum Cina.

“Beliau terpaksa buat kenyataan itu dengan harapan orang Melayu tidak terpengaruh dengan populariti DAP yang meningkat pesat,” katanya dan menambah UMNO tahu mereka tidak dapat menghentikan trend sokongan kaum Cina dan India terhadap DAP.

Menyifatkan Salleh terdesak membuat demikian berikutan DAP semakin diterima masyarakat pelbagai kaum, Dr Edwin berkata, parti itu juga semakin mendapat tempat di hati masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia hasil usaha keras DAP memperjuang isu masyarakat khususnya di kawasan pedalaman melalui kempen dan program antaranya Gerakan Batu Sumpah, program Tanah untuk yang tidak bertanah, 

Impian Sabah dan sebagainya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayan dan Ketua Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah itu, berkata masalah berkenaan berlaku sekian lama tetapi diabai kerajaan BN Sabah mahupun Sarawak.

Timbalan Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah, Adrian Lasimbang, pula berkata UMNO tidak perlu menjadikan mana-mana kaum sebagai mangsa mainan persepsi perkauman sempit.

“Saya tidak faham mengapa mereka terlalu takut dengan DAP hingga sanggup membuat pelbagai tohmahan, seolah-olah tidak tahu Malaysia terdiri pelbagai kaum. Kita tak boleh biarkan politik perkauman bermaharajalela hingga  melahirkan pelampau berbahaya,” katanya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: