Jumaat, 29 Januari 2016

KKM ambil langkah cegah virus Zika

 
Lima langkah pencegahan dan berjaga dicadangkan


zika-virus


PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengambil langkah mencegah virus Zika merebak ke negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Sulaiman dalam satu kenyataan hari ini berkata Kementerian Kesihatan mencadangkan lima langkah membendung virus Amerika Selatan itu.

“Semua pelawat dari benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan yang mempunyai gejala demam dan bintik-bintik hendaklah melaporkan diri ke Pusat Kuarantin Kesihatan atau Pejabat Kesihatan berhampiran semasa tiba di Malaysia.

“Di samping itu, pemantauan bagi kes “microcephaly” juga ditingkatkan di hospital-hospital,” katanya, dan menambah nasihat kesihatan (health advisory) kepada pelancong dan rakyat Malaysia berkenaan langkah-langkah yang perlu diambil juga akan diedarkan.

Setakat ini tiada tanda-tanda Zika dikesan di negara ini.

“Daripada pemantauan berterusan oleh KKM, sebanyak 288 sampel dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan telah diuji dan keputusannya semua adalah negatif untuk virus Zika,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus memerangi nyamuk pembunuh dan menggesa orang-ramai untuk menghapuskan mana-mana kawasan yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Malaysia mempunyai nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk Aedes,” katanya.

Tiada ulasan: