Isnin, 25 Januari 2016

Kes Zulkifli bunuh perompak disebut Februari ini

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KEMAMAN: Mahkamah Sesyen di Kemaman hari ini menetapkan 21 Februari untuk sebutan kes seorang peniaga yang didakwa membunuh dan mencederakan dua lelaki di Kampung Labohan Kerteh, bulan lepas.
 
Hakim Rofiah Mohamad menetapkan tarikh berkenaan setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi untuk melengkapkan semua dokumen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
 
Pada 27 Disember lalu, Mohamad Zulkifli Ismail, 50, didakwa membunuh Zulkefle Abdullah, 38, di kawasan rumah tidak bernombor, Kampung Labohan, Kerteh, di sini pada 10.30 pagi, 7 Disember lalu.
 
Tertuduh yang mempunyai tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
 
Tiada sebarang pengakuan direkodkan bagi pertuduhan tersebut.
 
Sementara itu bagi pertuduhan ke-2, Zulkifli mengaku tidak bersalah menyebabkan cedera parah ke atas Faizul Awang, 31, dengan menggunakan sebilah parang di tempat dan tarikh yang sama.
 
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
 
Kes Zulkifli yang mempertahankan diri dan keluarga daripada rompakan menjadi viral di laman sosial hingga wujudnya kumpulan tertentu yang dikatakan membela tertuduh.
 
Ketika prosiding, Mohamad Zulkifli yang kelihatan tenang di kandang tertuduh sempat memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menggunakan parang, sebaliknya menggunakan golok.
 
Zulkifli diwakili peguam Ariff Azami Hussein.
 
Di luar mahkamah, selain anggota keluarga, kelihatan hanya beberapa orang hadir memberi sokongan terhadap Zulkifli.
 
 

Tiada ulasan: