Jumaat, 8 Januari 2016

Kemelut 1MDB cabaran kedaulatan undang-undang, kata Majlis Peguam



Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru berkata, laporan meluas mengenai campur tangan atau sekatan dalam siasatan terhadap tuduhan salah laku membabitkan 1Malaysia Development Berhad tidak boleh diabaikan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Januari, 2016. 
Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru berkata, laporan meluas mengenai campur tangan atau sekatan dalam siasatan terhadap tuduhan salah laku membabitkan 1Malaysia Development Berhad tidak boleh diabaikan. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Kontroversi menyelubungi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi cabaran kepada kedaulatan undang-undang kerana ia menunjukkan kelemahan institusi penting menangani campur tangan dan serangan negara, kata Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru.

Katanya, laporan meluas mengenai “campur tangan atau sekatan dalam siasatan” terhadap tuduhan salah laku membabitkan syarikat pelaburan milik negara itu “tidak boleh diabaikan”.

“Tindakan seperti itu meninggalkan kesan dari segi menjejaskan dan melemahkan institusi negara yang terbabit dalam siasatan itu.

“Amat penting perkara yang tidak menyenangkan ini diakui kerana ia tidak sepatutnya berlaku, dan tidak boleh berlaku lagi demi kepentingan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis Tahun Perundangan 2016 di Kuala Lumpur, hari ini.
 
 Dalam ucapannya, beliau menyenaraikan undang-undang yang tidak dipersetujui majlis itu, termasuk Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota), pindaan Akta Hasutan 1948 dan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara.

Beliau menamakan kontroversi 1MDB sebagai satu lagi cabaran terhadap kedaulatan undang-undang.

“Satu lagi cabaran terhadap kedaulatan undang-undang yang kita bimbangkan ialah kemelut 1MDB dan kelemahan institusi penting negara menangani serangan dan campur tangan,” kata Thiru.

Katanya, banyak yang dilakukan pihak eksekutif tahun lalu yang mencetuskan tanggapan berlakunya campur tangan dalam siasatan terhadap 1MDB.

Thiru berkata ini termasuk penyingkiran individu penting seperti bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam siasatan 1MDB, pembubaran pasukan siasatan khas pelbagai agensi dan kelewatan dalam inkuiri Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang disebabkan rombakan Kabinet.

Beliau juga menyebut mengenai siasatan dilakukan terhadap pegawai SPRM, Bank Negara Malaysia dan Pejabat Peguam Negara susulan dakwaan kebocoran maklumat, serbuan ke pejabat dan rampasan dokumen serta pertukaran serta-merta 2 pegawai SPRM ke Jabatan Perdana Menteri, yang kemudian dibatalkan selepas kekecohan timbul.

“Semua tindakan berkenaan menyebabkan orang ramai tidak dapat tidak merasakan wujud sekatan dalam siasatan terhadap 1MDB.

“Ia juga menyebabkan imej institusi berkenaan terjejas di mata awam. Gangguan yang mereka terima dilihat sebagai langkah merun¬tuhkan pentadbiran keadilan,” katanya.

Majlis Peguam juga mengecam tindakan campur tangan itu pada mesyuarat agung luar biasa pada 12 September tahun lalu, di mana ia meluluskan resolusi menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan mengenai perkara itu.

Mengakui wujud perkembangan dalam siasatan itu baru-baru ini, Thiru berkata Majlis Peguam masih bimbang kerana kebebasan institusi awam amat penting untuk melaksanakan demokrasi.

“Kami juga bimbang apabila semakin ramai orang awam khuatir ada usaha ke arah menyembunyikan sesuatu, dan hasil terakhir siasatan itu,” katanya.

Thiru turut merujuk kepada kenyataan Majlis Raja-raja pada Oktober tahun lalu menggesa resolusi segera terhadap masalah 1MDB dan tindakan perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Titah nasihat dan kebimbangan para Sultan ini perlu diberi perhatian dan dihormati,” katanya.


Tiada ulasan: