Isnin, 11 Januari 2016

Kelantan mungkin sambar Dangda

TRW sambar Dangda
Dangda antara pemain Thailand yang diminati Dr Vida untuk dibawa ke pasukan TRW musim ini.
 

SEJURUS dilantik Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman tampil dengan idea baharu apabila menyatakan minat untuk menyambar penyerang sensasi Thailand, Teerasil Dangda bagi memperkuatkan The Red Warriors menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengasas Vida Beauty yang lebih dikenali panggilan Dr Vida itu mengakui beliau amat tertarik dengan corak permainan selain reputasi hebat dimiliki pemain kebangsaan Thailand berusia 28 tahun itu.

“Kita perlu berusaha mendapatkan pemain import yang betul-betul berkualiti kalau hendak tengok Kelantan merangkul kejuaraan musim ini. Maksud saya, pemain yang dibawa masuk itu boleh membantu kejayaan sesebuah pasukan.

“Saya percaya kehadiran pemain itu mampu mempertajamkan jentera penggempur Kelantan sekali gus menerbitkan rasa gerun kepada mana-mana pasukan lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun,  jutawan syarikat kosmetik itu menjelaskan, segalanya bergantung pada perbincangannya dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa selain mendapatkan pandangan jurulatih, K Devan sebelum beliau meneruskan usaha membawa masuk peledak berbisa dari negara jiran itu.

Dangda, yang menjaringkan 33 gol dalam 70 penampilan bersama Thailand kini beraksi selaku pemain pinjaman bersama kelab Almeria di Liga Sepanyol dan dijangka kembali ke pangkuan pasukan asalnya, Muangthong United, pada 20 Januari ini.

Sepanjang mewakili Muangthong United dari 2009 hingga 2014, Dangda merekodkan 86 gol daripada 186 penampilannya bersama naib juara Liga Premier Thailand musim lalu itu.

Pada masa sama, Dr Vida memberitahu, beliau turut mencadangkan kepada pihak Kafa mendapatkan beberapa pemain dari Timur Tengah bagi memperkukuhkan skuad pantai timur pada saingan musim ini.


Tiada ulasan: