Ahad, 17 Januari 2016

Kelantan kekal warna tradisi merah, putih

Annuar Musa
Annuar Musa


PAMOGA Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW) akan kekal menggunakan warna tradisi mereka, merah dan putih untuk jersi rasmi pasukan itu sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Perkara tersebut diumumkan sendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa selepas barisan kepimpinannya mengadakan mesyuarat, malam tadi.

“Kelantan tetap dengan jersi tradisinya, merah (untuk perlawanan di gelanggang sendiri) dan putih serta biru (di gelanggang lawan). Jersi (jenama) Nike ini akan dilancarkan, pada 10 Februari depan.

“Sementara itu, Kelantan akan mendaftarkan jersi kedua berwarna shocking pink (merah jambu). Jersi ini akan dilancarkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan penaja utama, Datuk Seri Hasmiza Othman,” katanya dipetik menerusi laman sosialnya.

Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan desas-desus mengatakan Kelantan bakal menggunakan jersi merah jambu selepas pengasas Vida Beauty yang dikenali panggilan Dr Vida itu memeterai perjanjian menaja pasukan itu, baru-baru ini.

Annuar turut memberitahu, pihaknya turut menerima tajaan sebuah bas baharu yang disumbangkan oleh penaja, Konsortium e-Mutiara untuk kegunaan pasukan bola sepak mereka, pada musim ini.

“Bererti setiap pasukan iaitu PQP TRW, The Presiden Warriors (skuad Piala Presiden) dan The Young Warriors (skuad Piala Belia) akan memiliki bas masing-masing,” katanya.

Dalam entri sama, Annuar turut mengakui segala pembaharuan yang dilakukan oleh Kelantan ketika ini sudah pasti akan menjadi tumpuan dan perhatian selain dicemburui pasukan lain.

“Tapi tidak mengapa....kita adalah kita, (kerana) kita tersendiri. Kita mungkin bukan pasukan yang ‘Luaskan Kuasamu’ tetapi kita adalah pasukan yang bersedia untuk berada di hadapan dan menongkah zaman. Gomo Kelate (Kelantan) Gomo,” katanya.


Tiada ulasan: