Sabtu, 30 Januari 2016

Kedaifan Kem Lanang di bawah taraf perikemanusiaan

FREE MALAYSIA TODAY


Zahid sifatkan keadaan kem yang menempatkan anggota Batalion 10 Pasukan Gerakan Am terlalu teruk


Batalion-10-Pasukan-Gerakan-Am


SIBU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, melahirkan keazaman beliau menyelesaikan masalah kedaifan Kem Lanang di sini, yang menempatkan Batalion 10 Pasukan Gerakan Am.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata usaha itu demi menjaga kebajikan ‘anak-anak buah’ beliau di kem tersebut yang merupakan cabang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau mengakui, keadaaan kemudahan tempat tinggal dan juga pejabat di kem tersebut yang dibina daripada kayu pada 1968 itu “tidak munasabah dan di bawah taraf keperikemanusiaan”.

Menunjukkan komitmennya, Ahmad Zahid mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim mencari peruntukan supaya kemudahan di kem itu dapat dinaik taraf segera.

“Saya amat prihatin walaupun diberikan taklimat mengenai kedaifan kem Batalion 10 PGA di Kuala Lumpur dan Kuching, tetapi saya datang untuk melihat sendiri bagi mempercayainya. Bukan hanya berdasarkan laporan di atas kertas. Memang keadaan cukup-cukup teruk,” katanya semasa lawatannya ke kem tersebut.

Selain struktur bangunan usang, kem itu sering dilanda masalah banjir dan menimbulkan masalah kepada anggota menjalankan tugas serta mendatangkan ketidakselesaan kepada keluarga mereka.

Sebelum ditukarkan kepada namanya sekarang, Batalion 10 pernah dikenali sebagai Batalion ke-15, Pasukan Polis Hutan dan pernah di bawah pimpinan pegawai memerintah, ASP Mohd Johny Mustapha yang terkorban dalam serang hendap komunis semasa rondaan di sebuah kebun lada hitam di Sungai Stabau di sini, pada 6 April 1975.

Turut terkorban bersama beliau dalam serangan hendap itu ialah Konstabel Nuing Saling.

Ahmad Zahid berkata, prestasi ditunjukkan Batalion 10 adalah yang terbaik di negara ini dan wajar kebajikan pegawai, anggota dan keluarga mereka mendapat perhatian kerajaan.

Beliau akan mengusahakan peruntukan RM100,000, masing-masing bagi tujuan membesarkan surau dan gereja kecil di kem itu.

Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 untuk Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Batalion 10.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pegawai dan anggota agar menterjemahkan kesetiaan mereka bukan hanya kepada batalion itu atau Briged PGA Sarawak dan PDRM amnya, tetapi juga memberikan sokongan kepada kerajaan negeri sekarang.

“Kita mahu kerajaan negeri yang ada sekarang ini terus memerintah dan diberi kepercayaan sepenuhnya oleh rakyat Sarawak terutamanya anggota dan pegawai PDRM di seluruh negeri ini,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Nur Jazlan Muhammad, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Senior DCP Datuk Muhd Fuad Abu Zarim.-BERNAMA

Tiada ulasan: