Isnin, 11 Januari 2016

Jom ubah, seru pemimpin DAP lawan persepsi buruk pengundi Melayu



Serangan anti-DAP mewujudkan sentimen kemarahan serta ragu-ragu daripada kaum Melayu terhadap parti itu yang memerlukan pengundi Melayu untuk memenangi Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Januari, 2016.Serangan anti-DAP mewujudkan sentimen kemarahan serta ragu-ragu daripada kaum Melayu terhadap parti itu yang memerlukan pengundi Melayu untuk memenangi Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
DAP perlu berubah dan tidak lagi mengharap pihak lain mendekati Melayu, termasuk rakannya dalam Pakatan Harapan, kata pemimpin parti itu ketika menghadapi sentimen kemarahan daripada kaum terbesar di negara ini.

Mereka berkata DAP serta rakannya PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), perlukan sokongan separuh komuniti Melayu, yang membentuk 60% pengundi, bagi memenangi Putrajaya.

Ia perlu mewujudkan sebuah naratif baru politik yang bersifat inklusif, merangkumi semua komuniti, dan menghapuskan keraguan orang Melayu Islam jika ia benar-benar mahu menjadi parti arus perdana.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong berkata pihaknya mengambil kajian yang mengatakan ramai Melayu tidak senang dengan parti itu secara positif dan serius. "Ini masalah yang serius," kata ahli Parlimen Kluang itu kepada The Malaysian Insider.

"DAP perlu terlibat sendiri dalam mendekati orang Melayu, jadi dengan itu naratif baru akan terhasil, dan DAP boleh diterima," katanya yang mahu naratif baru itu membolehkan semua pihak merasai ekonomi yang baik ketika negara dalam krisis.

Naratif baru ini juga, katanya, perlu melibatkan semua pihak, bukan sekadar Melayu sahaja tetapi kaum Cina, India, rakyat Sabah dan juga Sarawak.

"Kita perlukan naratif besar meleraikan ketakutan mereka dan menggabungkan semua mereka di bawah satu misi nasional mengalahkan Umno yang menjadi punca masalah selama ini," katanya.

Liew mengulas kajian Institut Darul Ehsan (IDE), sebuah badan di bawah kerajaan negeri Selangor, yang menyatakan kira-kira 70% Melayu tidak senang dengan DAP.

"Kemarahan dan kebencian ini kami kesan di kalangan Melayu luar bandar terutamanya, termasuk di kalangan ahli dan penyokong PAS.

"Hanya di kawasan yang dimenangi DAP sahaja menunjukkan peratusan kecil kemarahan itu," kata Timbalan Pengerusi IDE Profesor Datuk Dr Redzuan Othman kepada The Malaysian Insider.

Pandangan Liew selari dengan pandangan ketua Parlimen parti Lim Kit Siang yang berpendapat DAP perlu berkomunikasi lebih baik bagi menampakkan parti itu beraspirasikan pelbagai kaum.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berpendapat sentimen negatif terhadap parti daripada golongan Melayu luar bandar adalah berpunca dari kekurangan maklumat tentang parti serta propaganda Umno. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Januari, 2016.Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berpendapat sentimen negatif terhadap parti daripada golongan Melayu luar bandar adalah berpunca dari kekurangan maklumat tentang parti serta propaganda Umno. – Gambar fail The Malaysian Insider.
Manakala setiausaha agung Lim Guan Eng pula berpandangan, sokongan kepada DAP berkurangan di kalangan Melayu luar bandar kerana kurang mendapat maklumat yang tepat dan terpengaruh dengan propaganda Umno.  
 
Untuk itu, kedua-duanya mengesa agar DAP bekerja keras memberikan penerangan kepada orang Melayu kerana terbukti selepas menerima penjelasan, mereka akan memberi sokongan sebagaimana berlaku di kawasan yang diwakili parti itu.

Pemimpin DAP juga berpendapat sentimen orang Melayu luar bandar menjadi negatif kerana kebanyakan maklumat di kawasan itu diperolehi daripada media pro-Umno.

Menurut Liew, kerjasama antara Umno dan PAS menggunakan kaum, agama dan Raja-raja, satu formula yang terbukti berkesan.

"Tetapi masa sudah berubah. Saya penuh yakin, jika Pakatan Harapan boleh menjadi iPhone politik, yakni politik baru, membina pasaran baru, kehendak baru, naratif yang baru, kita boleh hadapi semua ini," katanya.

Pandangan strategis muda DAP itu turut dikongsi senior beliau, Anthony Loke, setiausaha organisasi parti.

"Selama ini kita hadapi serangan dari Umno. Bila PAS juga menyertai Umno menyerang kami, ia semakin terasa," katanya.

Loke berkata, sentiasa ada perdebatan hangat dalam parti itu mengenai pendekatan yang perlu diambil.
"DAP sudah lama menyedari kepentingan sokongan Melayu," kata ahli Parlimen Seremban itu kepada The Malaysian Insider.

Namun, katanya, ia sentiasa pasang dan surut berdasarkan suasana semasa kerana ada pro dan kontra terhadap kumpulan penyokong asas DAP.

Beliau turut memahami, demografi penduduk Malaysia berubah mengikut keadaan semasa memandangkan keluarga Melayu lebih pesat berkembang berbanding keluarga Cina di negara ini, berdasarkan kadar pertumbuhan.

DAP bernasib baik kerana sejak kebelakangan ini, apabila Pakatan Rakyat berpecah, ramai tokoh-tokoh baru khasnya orang Melayu menyertai parti itu.

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Aziz Bari yang menyertai DAP beberapa bulan lalu berkata, beliau baru-baru ini membuat cadangan bertulis mengenai perkara itu.

"Cadangan itu dihantar kepada DAP kira-kira sebulan lalu. Antaranya, bagaimana untuk mengendalikan orang Melayu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Baginya, DAP perlu memahami dan mengendalikan sensitiviti orang Melayu dengan baik bagi menambat hati mereka dalam usaha menjadikannya sebuah parti utama atau "mainstream".


Tiada ulasan: