Sabtu, 30 Januari 2016

Jawatan Mukhriz masih selamat

Jawatan Mukhriz masih selamat
Najib bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Menara Dato Onn, semalam. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar Kedah dilihat masih selamat buat masa ini selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan akan memaklumkan calon pengganti dalam tempoh waktu terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selaku Presiden Umno, beliau perlu mempertimbangkan permintaan 14 Ketua Umno Bahagian di Kedah yang mahukan Mukhriz dilucutkan daripada jawatan Menteri Besar Kedah.

“Kita dengar ada permasalahan tetapi ini diputuskan oleh 14 ketua bahagian.

“Jadi saya sebagai Presiden, saya kena ambil maklum dan saya kena juga beri pertimbangan yang serius terhadap pendirian yang dibuat oleh ketua-ketua bahagian,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya mesyuarat MT Umno di Menara Dato Onn, semalam.

Najib berkata, beliau juga sudah menghadap Pengerusi Jemaah Diraja di Istana Darul Aman dan mengemukakan nama calon bagi menggantikan Mukhriz.

“Saya maklumkan pada pada MT bahawa saya sudah menghadap Pengerusi Jemaah Diraja pagi tadi (semalam) dan saya sudah sembah maklum akan cadangan atas nama pihak Umno.

“Tiada penolakan (nama calon) dan pertemuan itu berjalan dengan baik. Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan,” katanya.

Baru-baru ini, 14 daripada 15 Ketua Umno Bahagian di Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merayu Najib supaya membuat perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri dan jawatan Menteri Besar Kedah.

Semuanya selepas mereka mengatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Dalam perkembangan lain, Najib mengumumkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dilantik menjawat jawatan Ketua Penerangan Umno yang baharu.

Presiden Umno itu juga turut mengumumkan nama lain dalam penyusunan semula struktur MT.

Nama yang diumumkan itu adalah, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menjawat jawatan Pengerusi Daftar Pemilik dan Keahlian Umno; Datuk Johari Abdul Ghani sebagai Pengerusi Biro Ekonomi; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Biro Pelajar Luar Negara; Datuk Razali Ibrahim sebagai Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah sebagai Biro Kebajikan.

Selain itu, Najib memberitahu MT Umno turut berbincang mengenai perkara seperti tarikh persidangan tahunan Umno peringkat cawangan dan peringkat bahagian bagi tahun ini, serta sambutan Ulang Tahun Umno ke-70 pada 11 Mei ini.

"Kita telah memutuskan persidangan tahunan untuk cawangan-cawangan parti akan bermula 18 Mac 2016 hingga 1 Mei 2016, (manakala) mesyuarat perwakilan bahagian pada 1 Ogos sehingga 15 September.

“Kita juga berbincang tentang sambutan Hari Ulang Tahun Umno ke-70... acara sambutan ini akan kita beri butirannya secara lebih lanjut lagi sebab tempat cadangan asal (iaitu) Stadium Nasional Bukit Jalil tidak boleh digunakan kerana sedang dibangunkan semula,” katanya.

Beliau berkata, antara program yang dirancang bersempena sambutan itu ialah larian bendera dan karnival sukan, dan ia akan dikendalikan oleh Ketua Pemuda Umno merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sementara itu, Annuar, ketika ditemui pemberita berkata, beliau berterima kasih kepada Presiden kerana mengamanahkan kepadanya tugas yang besar dalam Umno.

“Saya sedar jawatan ini berat tanggungjawabnya... saya perlukan kerjasama semua pihak dalam Umno, sama ada pengerusi-pengerusi perhubungan, sayap-sayap mahupun anggota parti,” katanya.

Tiada ulasan: