Ahad, 31 Januari 2016

Isu RM2.6 Bilion: Najib Terlepas Kerana Dah Tukar Peguam Negara

KELAB GREENBOC


Keputusan derma RM2.6 bilion berbeza jika peguam negara tidak ditukar, kata pembangkang

Pakatan Harapan menjangkakan keputusan berbeza mungkin berlaku dalam siasatan membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd sekiranya Tan Sri Abdul Gani Patail masih lagi peguam negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan peguam negara yang mengatakan tiada bukti menunjukkan Najib menyalahgunakan kuasa dalam isu itu juga sudah dijangkakan.

"Ia sudah dijangka, bila mereka tukar peguam negara, kalau tidak ditukar mungkin perkara lain akan berlaku," katanya pada sidang media di pejabat pembangkang di Parlimen, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang ditemui selepas sidang media itu berkata, beban kini terletak di bahu Najib untuk memberikan penjelasan kepada rakyat.

"Tak menghairankan, memang dijangka, membaca penjelasan peguam negara itu tidak meyakinkan.

"Cabarannya macam mana beliau boleh katakan tiada unsur salah. Saya rasa susah untuk beliau yakinkan orang ramai. Rakyat biasa tidak akan terima," katanya.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP berkata, perkara itu menunjukkan, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali tidak menjalankan tugas dengan bebas.

"Mungkin kerana beliau guna budi bicara, ini salah guna budi bicara."

Menjelaskan berhubung langkah blok pembangkang seterusnya, Lim berkata, teks peguam negara itu akan diteliti mereka dan satu usul akan di bawa terhadap Najib di Parlimen sekiranya perlu.

"Kita akan baca teks dengan teliti, kalau ada usul ketua pembangkang akan bawa ke Dewan. Kita akan bincang kemudian.

"Satu dunia kata salah, tapi Malaysia tidak salah," katanya.

Apandi dalam satu kenyataan hari ini berkata, disebabkan perkara itu, nama Najib kini dibersihkan daripada sebarang kesalahan jenayah yang melibatkan SRC International, sebuah syarikat milik kementerian kewangan di mana Najib menterinya.

"Saya berpuas hati tiada kesalahan jenayah dilakukan.

"Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tiada bukti yang menunjukkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyalahgunakan kedudukannya dalam mesyuarat Kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Kumpulan Wang Persaraan Inc atau KWAP)," kata Apandi pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Beliau juga mengumumkan Najib dibersihkan daripada sebarang salah laku jenayah ke atas sumbangan RM2.6 bilion yang diterima ke dalam akaun bank peribadinya.

SRC awalnya di bawah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum dipindahkan kepada kementerian kewangan pada tahun 2012, selepas pinjaman RM4 bilion daripada dana pencen dikeluarkan sepenuhnya. -TMI
Rafizi: Siapa pula luluskan pindahan wang SRC?

Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli melahirkan beberapa persoalan berkenaan dana RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Ia selepas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata, Najib tidak tahu dan tidak dimaklumkan dengan jumlah wang yang berasal dari bekas anak syarikat 1MDB itu.

"Penjelasan setakat ini tidak menjawab soalan utama - sejak RM42 juta telah dipindahkan dari SRC, siapa dalam SRC beri kuasa untuk lakukan pemindahan?" soal naib presiden PKR itu.

Rafizi berkata, untuk melakukan pemindahan, SRC pastinya memerlukan nombor akaun Najib dan perkara yang paling tidak mustahil mungkin ialah ia diberikan oleh perdana menteri sendiri.

"Justeru, bagaimana Najib memberikan nombor akaun tetapi tidak mengingati wang yang masuk ke akaunnya adalah dari SRC?"
tanya beliau.

Apandi hari ini berkata, bukti menunjukkan perdana menteri percaya sumbangan RM2.6 bilion yang dibuat kepadanya sebelum ini berasal dari sumbangan politik keluarga diraja Arab Saudi.

"Tidak ada bukti yang menunjukkan PM memberi apa-apa kelulusan untuk pemindahan wang dari akaun SRC International ke dalam akaun peribadi beliau," katanya.

Apandi berkata demikian ketika menjawab dua kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – berkaitan kes SRC International dan kes RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Najib – kepada Apandi Disember tahun lalu.

RM2.6 bilion telah dipindahkan pada tahun 2013 manakala RM42 juta daripada SRC International disalurkan ke dalam akaun Najib pada akhir 2014 dan awal 2015.

Sementara itu, Rafizi mengibaratkan isu tersebut seperti perlawanan pingpong, apabila Apandi berkata Najib telah mengembalikan RM2.03 bilion kepada keluarga diraja Saudi tersebut pada bulan Ogos 2013.

"Najib berkata beliau mendapat derma RM2.6 bilion, entah bagaimana dia kembali semula.

"Kemudian setahun kemudian, entah macam mana penderma Arab yang murah hati derma RM42 juta lagi ke dalam akaunnya melalui SRC," katanya.
-mk

Tiada ulasan: