KUALA LUMPUR,  Tiga lagi individu termasuk seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dalam pembayaran wang rasuah bagi melindungi pelombongan bauksit secara haram, semalam.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Azam Baki berkata ketiga-tiga individu terbabit ditahan secara berasingan di sekitar Kuantan antara 4 petang hingga 11.55 malam.

Kata Azam, mereka dipercayai berperanan sebagai orang tengah dalam aktiviti penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau Borang 13D secara haram kepada pelombong-pelombong tidak berlesen.

“Kesemua mereka yang berusia antara 44 dan 50 tahun itu merupakan orang awam.

“Ini merupakan tindakan susulan dalam menangani isu perlombongan bauksit tidak terkawal dan ketirisan hasil kerajaan di Pahang.

“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, SPRM masih giat menjalankan siasatan bagi mengesan mereka yang terbabit dalam jenayah rasuah sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan perlombongan haram dan ketirisan yang dianggarkan bernilai RM187 juta dari segi hasil kutipan royalti tahun lalu.

“SPRM turut menyeru orang ramai agar memberi maklumat kepada SPRM berhubung individu yang terlibat memberi serta menerima rasuah dalam isu perlombongan bauksit secara haram,” katanya.


Pada 7 Januari lalu, empat kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan, Pahang ditahan SPRM termasuk seorang pegawai kanan kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah dari pelombong bauksit tidak berlesen di negeri ini.