Isnin, 11 Januari 2016

Hotel atas pelantar minyak UiTM Terengganu

 
Idea tersebut diilhamkan oleh UiTM Terengganu yang percaya ia dapat menarik pelancong selain menjadikannya pusat pembelajaran


Hotel-di-atas-pelantar-minyak


PETALING JAYA: Hotel di atas pelantar minyak bakal menjadi tarikan baharu produk pelancongan di negeri Terengganu menjelang Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.

Idea tersebut diilhamkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu yang percaya pembinaan hotel itu bukan sahaja dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara, malah boleh dijadikan sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan universiti berkenaan.

Rektor UiTM Terengganu Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi dilapor akan berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Petronas pada Selasa (esok) untuk berbincang bagi mendapatkan pelantar Petronas yang sudah tidak digunakan dan jika boleh, lokasi pelantar 10 batu nautika dari pesisir pantai Dungun dan ubah suai menjadikan hotel terapung di tengah-tengah laut.

“Kalau kerajaan Terengganu juga bersetuju dengan cadangan ini, saya rasa ia akan memberi impak yang besar kepada pelancongan Terengganu,” katanya selepas menyempurnakan majlis penutup Festival Hospitaliti 2016 di UiTM Terengganu Kampus Dungun pada Ahad, lapor Bernama.

Abdol Samad berkata kos keseluruhan masih belum diketahui dan pihaknya merancang membina hotel berkenaan berkonsepkan wakaf bagi mendapatkan dana.

“Mungkin pembinaan hotel ini menelan belanja agak tinggi yang mana ia meliputi kos penyelenggaraan, keselamatan dan pengubahsuaian, jadi kita rancang jadikan ia projek berkonsepkan wakaf dan kita juga akan menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat lain,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan: