PETALING JAYA,  Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd mungkin perlu menaikkan harga keretanya selepas Tahun Baru Cina, pada Februari ini, memandangkan kos mengimport komponen meningkat, disebabkan penyusutan ringgit.


“Ringgit kini lebih rendah berbanding setahun lalu, yang mempengaruhi harga komponen import kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Harith Abdullah selepas pelantikan pengedar baru hari ini.

Pada jam 9 pagi tadi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.3930/4000 berbanding dolar AS, jauh berbeza daripada paras 3.57 semasa didagangkan pada masa sama tahun lalu.

Harith berkata, Proton berusaha sedaya upaya untuk tidak menaikkan harga sehingga Tahun Baru Cina, bagi membolehkan pelanggannya menikmati kereta baru pada harga semasa.

Menurut Proton, 20 hingga 30 peratus daripada komponen dalam kenderaannya diimport.

Honda Malaysia menaikkan harga kereta keluarannya sebanyak 2 hingga 3 peratus tahun ini, manakala UMW Toyota Motor telah mengumumkan kenaikan harga sebanyak 4 hingga 16 peratus, mulai bulan ini.
 
Mitsubishi Motors Malaysia juga telah membayangkan akan mengambil langkah sama.