Isnin, 11 Januari 2016

'Hakim tak berhati perut' - Zaid kata tak gentar ke mahkamah

MALAYSIAKINI


 


Bekas di Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang sedang disiasat oleh pihak polis tidak gentar dengan kemungkinan diheret ke mahkamah kerana mengkritik badan kehakiman.

Menurutnya, mereka yang berada di Putrajaya silap untuk berfikir bahawa sebarang dakwaan atau perbicaraan akan datang akan adalah mengenai dirinya.

Sebaliknya, menurutnya, diri mereka sebenarnya yang akan dibicarakan itu.

"Saya akan pertahankan kata-kata saya bahawa 'hakim tidak berhati perut. Saya akan terangkan mengapa hakim-hakim itu gagal melaksanakan sumpah jawatan mereka bukan sahaja dalam kes Indira tetapi kes-kes lain lagi.

"Keadilan telah dinafikan kepada rakyat Malaysia untuk sekian lama kerana hakim tidak berhati perut," katanya dalam laman Facebook.

Zaid mengundang masalah apabila beliau membidas keputusan majoriti penghakiman Mahkamah Rayuan yang membabitkan perebutan anak-anak K Pathmanathan @ (Mohd Redwan Abdullah) dan bekas isterinya M Indira Gandhi yang ditukar kepada agama Islam.

Katanya, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menegur beliau kerana tidak membaca penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Indira sebelum melemparkan label ke atas hakim-hakim.

Beberapa hari kemudian, katanya, Arifin mendapatkan sokongan oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Gopal Sri Ram.

"Pertama kali saya ingin minta kedua-dua mereka untuk membaca blog post saya dengan teliti. Blog saya lebih mudah difahami daripada beberapa keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan hari ini.

"Saya menulis untuk rakyat biasa. Saya bercakap bahasa mereka. Saya tidak pernah menjadi peguam yang baik atau terpelajar seperti Arifin atau Sri Ram," katanya.

Menurut Zaid, beliau sedih dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Indira Gandhi dan membaca penghakiman penuh itu tidak akan membantunya berasa lebih baik kerana keputusan akhir adalah ‘meloyakan’.

“Seperti semua keputusan penghakiman sebelum ini, saya kecewa kerana hakim-hakim akan mempertahankan keputusan mereka dengan mendakwa mereka tidak berkuasa kerana sesuatu atau sebab-sebab lain.

"Ia mungkin kerana keputusan sebelum ini atau kerana Perkara 121 (A) atau kerana perkara itu terletak pada bidang kuasa mahkamah syariah. Kita telah dengar semua ini, sebelum ini. Itulah yang menyakitkan hati dan menjadikan saya geram.

"Saya tidak kata majoriti hakim tidak berhati perut atau mereka sahaja yang bersalah. Saya melahirkan kekecewaan saya bukan sahaja hanya pada hakim Mahkamah Rayuan tetapi juga kepada hakim-hakim di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 10 tahun yang lalu kerana sikap angkuh mereka terhadap kebebasan asasi dan kerana tidak mempertahankan teras prinsip-prinsip perlembagaan sistem undang-undang kita.

"Soalan saya adalah, apakah jenis sistem yang kita ada? Saya berkata seluruh negara telah gagal atau kehilangan jiwanya dan hasilnya kita menghasilkan hakim yang tidak berhati perut. Jika seorang ibu tidak boleh bersama dengan anaknya selama sembilan tahun, maka sistem kita ada masalah," katanya.

Zaid juga berkata beliau tidak peduli jika Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan 2014 dalam kes Haji Raimi Abdullah.

Soalnya, mengapa Mahkamah Rayuan tidak mengikut satu lagi keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2007 dalam kes Latifah Mat Zin, jika itu akan membolehkan para hakim memberi keadilan kepada Indira?

Tiada ulasan: