SHAH ALAM,  Seorang guru lelaki maut selepas disambar petir di sebuah sekolah menengah di Seksyen 11, petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa, Mohd Farhan Masudi, 32 dikatakan berteduh bersama lima guru lain di kawasan dewan sekolah selepas menjalani aktiviti di padang sekolah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian mangsa dalam keadaan basah kerana hujan lebat dan memegang bidai tembaga sebelum berlakunya petir.

Menurutnya, mangsa terkena renjatan eletrik dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

“Dua rakan mangsa berusia dalam lingkungan 30-an yang cuba membantu turut terkena renjatan elektrik dan pengsan di tempat kejadian.

“Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan sebelum Mohd Farhan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, dua rakan mangsa kini dilaporkan stabil.

Shafien berkata, mangsa yang mengajar di sebuah sekolah di Tanjung Karang itu hadir ke sekolah berkenaan bagi menghadiri kursus kejurulatihan bola sepak yang turut disertai 40 orang guru dari seluruh negeri Selangor.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.