Jumaat, 8 Januari 2016

Guna Islam kaut untung, Rayani Air jawab Dr Mahathir

MALAYSIAKINI


 


Syarikat penerbangan patuhi syariah yang pertama di Malaysia, Rayani Air menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ia hanya menggunakan nama Islam untuk mengaut keuntungan.

Ketua Pegawai Operasinya, Sumar Lee Hashim Lee berkata syarikat itu cuba menampilkan ciri-ciri Islam dalam Rayani Air kerana ia bertepatan dengan imej negara sebagai sebuah negara Islam.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu juga cuba untuk membantu orang Melayu dalam mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, pemilik Rayani Air adalah berbangsa India, namun konsep keislaman yang diterapkan itu adalah cetusan idea daripada empat orang kakitangan dalam bidang operasi termasuk beliau sendiri.

“Itu pandangan peribadi Tun, dalam sesuatu perniagaan apa-apa pun memang nak untung, kalau tak mahu untung tak payahlah berniaga.

“Tapi bila ada dakwaan kita guna nama Islam untuk kaut keuntungan, itu tak betul, kita hanya bawa ciri-ciri Islam dalam syarikat penerbangan ini.

“Contohnya kita tengok perniagaan tudung Fareeda, Neelofar, kalau tak kerana ciri-ciri Islam yang ditampilkan, pengeluar tudung itu sendiri pun takkan untung,” katanya yang dipetik dalam satu wawancara dengan portal BNBBC.my.

Rayani Air bulan lalu memperkenalkan imej sebagai syarikat penerbangan patuhi syariah dengan mewajibkan anak kapal kabinnya yang beragama Islam memakai tudung dan menyediakan makan minum daripada sumber halal serta melarang minuman keras.

Bacaan doa juga berkumandang sebelum memulakan penerbangan.

Mahathir dalam wawancara dengan portal Free Malaysia Today, awal minggu ini mempersoalkan sama ada melayan penumpang dengan memakai tudung adalah untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam.

Sumar Lee bagaimanapun menyoal semula sama ada memakai tudung itu satu kelahan.

“Pakai tudung buat kerja salahkah? Ia sopan, Islam wajib pakai tudung, itu antara ciri-ciri Islam yang kita masukkan (dalam Rayani Air), di Malaysia juga sekarang ini ciri keislaman menjadi satu tarikan dan ia adalah satu kebaikan.

“Bukan nak tunjuk lebih Islam, cuma kita nak penuhi kehendak keislamaan dengan mengetengahkan konsep ciri-ciri Islam dimana kita wajibkan pekerja kita pakai tudung.

“Polisi yang kita buat tu disambut baik, bukan setakat pekerja menyambut baik, malah sekarang ni orang Malaysia semakin ramai memakai tudung,” katanya kepada portal itu lagi.


Tiada ulasan: