Selasa, 26 Januari 2016

Guan Eng nasihat Mukhriz

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Konflik politik di Kedah boleh diselesaikan dengan mengadakan usul undi percaya dalam sidang Dun untuk menentukan sokongan sebenar.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu bagi membolehkan sokongan kesemua wakil rakyat diterjemahkan melalui saluran yang betul terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berpendapat Kedah mempunyai beberapa pilihan namun sidang Dun tergempar untuk usul undi percaya adalah yang terbaik untuk menangani krisis ini bagi membolehkan wakil rakyat membuat pilihan.

"Pembubaran bukan langkah yang betul sebaliknya perlu adakan usul undi percaya terlebih dahulu.

"Ini jalan terbaik selesaikan krisis dan menyelamatkan saya kerana banyak pihak yang menjadikan saya sebagai kambing hitam untuk mengalihkan perhatian dari krisis yang berlaku di Kedah," katanya kepada media semalam.

Ditanya mengenai pendirian dua wakil DAP di Kedah jika diadakan undi percaya, Guan Eng berkata tidak mahu membuat keputusan terlalu awal.

"Biar ikita buat selangkah demi selangkah. Selesaikan satu persatu, biar fasa pertama ini selesai dahulu, baru boleh pergi ke fasa seterusnya," katanya.

Bagaimanapun, semua keputusan bergantung kepada Mukhriz untuk menyelesaikan masalah politik di negeri itu.

"Apa yang penting ialah penuhi kehendak rakyat dan kena hormat perlembagaan," katanya.

Suasana politik di Kedah 'panas' sejak beberapa hari lalu apabila kepimpinan Umno negeri itu yang secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Umno negeri yang diketuai Timbalan Pengerusi  Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah.

Tiada ulasan: