Isnin, 11 Januari 2016

El Nino: KPDNKK tiada kuasa tentukan harga ikan

SINAR HARIAN


Hamzah Zainuddin
Hamzah 
 
 
PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mempunyai kuasa dalam soal menentukan turun atau naik harga ikan berikutan fenomena El Nino.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan kementerian itu sebaliknya berfungsi untuk melihat daripada segi penerimaan pengguna tentang harga sama ada patut naik atau turun.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang 2015 kepada 265 warga kementerian di sini hari ini, Hamzah berkata KPDNKK hanya mempunyai kuasa dalam menentukan dua barang keperluan iaitu gula dan tepung di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Ramai tidak tahu bahawa kuasa KPDNKK adalah terhad," katanya sambil menambah bahawa harga ikan naik atau turun adalah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau dalam pada itu akan meminta pengawai kementeriannya untuk meringkaskan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 agar ia mudah difahami oleh rakyat biasa.

Dalam perkembangan lain, Hamzah memberi jaminan bahawa kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dinaikkan walaupun harga minyak mentah dunia turun.

Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengekalkan hasil kutipan cukai enam peratus, yang berkuatkuasa 1 April lalu, dan isu kenaikan GST tidak dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet. - Bernama

Tiada ulasan: