Isnin, 11 Januari 2016

El Nino: Kes Denggi dijangka naik 50 peratus

MALAYSIAKINI


 


Fenomena El Nino yang melanda negara ini boleh menyebabkan peningkatan kes denggi sehingga 50 peratus berikutan cuaca panas, kering dan suhu tinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata fenomena itu, yang dijangka berterusan sehingga Mac ini di seluruhn negara, akan menyebabkan kitaran hidup nyamuk Aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa semakin singkat iaitu kurang dari tujuh hari, sekali gus menyebabkan populasi nyamuk meningkat.

“Selain itu, suhu panas akan menyebabkan nyamuk lebih aktif dan frekuensi menggigit mangsa adalah tinggi selain penyebaran virus lebih meluas.

“Situasi akibat fenomena El Nino memberi kesan kepada tabiat vektor dan masyarakat, dan pada tahun ini, ia dijangka berupaya menyebabkan peningkat kes denggi sehingga 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya fenomena El Nino menyebabkan hujan berkurangan dan isu bekalan air berlaku, yang memaksa masyarakat menakung air bagi menampung bekalan air harian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan tiada pembiakan Aedes di kawasan mereka.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kes denggi meragut empat nyawa di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Wilayah Perekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam minggu pertama tahun ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak 3,337 kes deman denggi dilaporkan yang meningkat 33 peratus (826 kes) berbanding minggu sebelum (minggu akhir tahun 2015).

Peningkatan kes denggi berlaku di Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang, Kelantan, Perlis, Sabah dan Perak, katanya.

Selain itu, beliau berkata jumlah lokaliti wabak juga meningkat pada minggu pertama tahun ini iaitu 1,044 lokaliti berbanding 907 lokaliti pada minggu sebelumnya (minggu akhir tahun lepas) manakala lokaliti hotspot turut meningkat daripada 145 lokaliti kepada 161 lokaliti melibatkan tujuh negeri iaitu di Selangor (122), Johor (22), Perak (lapan), Pulau Pinang (empat), Sabah dan Negeri Sembilan (masing-masing dua), Kuala Lumpur dan Putrajaya (satu).

Beliau berkata walaupun trend kes sejak dua tahun kebelakangan ini meningkat pada awal tahun, namun kes yang dilaporkan pada minggu pertama tahun ini iaitu 3,337 kes adalah lebih tinggi berbanding 2,633 kes tahun lepas.

“Pada keseluruhan tahun lepas, sebanyak 120,836 kes dilaporkan, peningkatan sebanyak 11.2 peratus atau 12,138 kes berbanding 108,698 kes yang dilaporkan pada tahun 2014,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata analisis Kementerian Kesihatan mendapati faktor peningkatan kes demam denggi berpunca daripada persekitaran tidak bersih, tabiat masyarakat membuang sampah merata-rata dan ketidakcekapan pengurusan sampah.

“Di samping itu, faktor pergerakan manusia yang lebih meluas, kepadatan penduduk yang tinggi dan proses urbanisasi yang pesat membangun turut menyumbang kepada peningkatan kes denggi ini.

"Berdasarkan pengaruh faktor-faktor ini maka pencegahan denggi memerlukan penglibatan masyarakat, agensi-agensi lain dan semua pihak,” katanya.- Bernama


Tiada ulasan: