Selasa, 19 Januari 2016

Denggi: Ibu Bimbang Seorang Anak Meninggal Dunia, Seorang Masih Dirawat

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA TERENGGANU: Ibu kepada kanak-kanak perempuan enam tahun yang meninggal dunia akibat demam denggi Ahad lepas, melahirkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan seorang lagi anaknya yang juga dijangkiti wabak yang sama.

Oing Kam Niu, 34, seorang surirumah berkata mendiang Wah Ying Er, 6, merupakan anak kelima manakala yang masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) ialah anak ketiganya, Wah Ying Qi (perempuan), 11 tahun.

"Anak saya yang ketiga ni nampak macam dan sembuh, tapi sukar dijangka sebab demam tu sentiasa berulang, saya berdoa agar beliau cepat pulih dan dibenarkan pulang ke rumah tidak lama lagi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Selasa.

Beliau berkata sebelum ini kesemua anaknya telah dimasukkan ke wad HSNZ kerana denggi tetapi tiga daripadanya telah dibenarkan pulang kecuali Ying Qi yang dirawat bermula Sabtu.

"Memang sedih sangat sebab kehilangan seorang anak akibat denggi, tapi dalam masa sama saya bersyukur sebab tiga lagi dah keluar hospital dan pulih dari denggi cuma sekarang anak saya yang ketiga sahaja masih dirawat di HSNZ," katanya.

Menceritakan keadaan mendiang, Oing berkata kanak-kanak itu mula mengadu demam pada Khamis lalu selepas pulang dari tadika dan demamnya semakin teruk menjelang petang.

"Jadi, bapanya, Wah Tee Chay, 48, terus membawa dia ke hospital dan dimasukkan ke wad setelah disahkan menghidap denggi.

"Saya ingatkan dia boleh pulih seperti biasa sebab nampak macam dah boleh makan dan minum, tiba-tiba pada sebelah petang (Ahad) dia mula muntah dan cirit birit.

"Bila dimasukkan ke unit rawatan rapi, anak saya terus tak sedarkan diri dan meninggal dunia pada pukul 11 malam," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata kanak-kanak itu adalah mangsa ketiga yang maut dari lokaliti wabak yang sama sebelum ini iaitu di Kampung Panji Alam.


Ia terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu.


"Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan mahu operasi mencari serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes ini diperhebatkan lagi bagi mengelak berlakunya kematian di masa akan datang, " katanya.
Selain itu Muhammad Pehimi berkata operasi bersepadu membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan akan terus digerakkan untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes termasuk di kawasan premis yang tidak berpenghuni.

"Antara langkah agresif yang dibuat ialah memeriksa persekitaran rumah atau tanah terbiar yang tidak berpenghuni dan sekiranya didapati terdapat tempat pembiakan nyamuk Aedes di situ, pemiliknya akan dikenakan kompaun.

"Sebelum ini, pihak bertanggungjawab tidak membuat pemeriksaan di kawasan tanah atau premis yang tidak berpenghuni kerana ia adalah satu kesalahan undang-undang kerana mencerobohi harta persendirian tanpa kebenaran pemilik namun tidak lagi kali ini kerana kita mahu membanteras denggi habis-habisan," katanya.

Mengikut rekod, kes demam denggi di Terengganu terus meningkat kepada 316 kes setakat 7 pagi tadi dengan empat kematian dilaporkan sejak 1 Jan lepas.

Tiada ulasan: