Jumaat, 8 Januari 2016

DAP tidak akan gadai prinsip perjuangan demokratik

DAP-650x400

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : DAP tidak akan sesekali menyertai Barisan Nasional (BN) tetapi boleh bekerjasama dalam aspek tertentu selagi tidak menggadaikan prinsip perjuangan sebagai sebuah parti demokratik.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata sebarang komunikasi dan mesyuarat dengan pemimpin kerajaan Persekuruan semata-mata untuk menjaga kepentingan negara dan masa depan generasi akan datang.

“Kami berbuat begitu bukanlah untuk meminta jawatan Menteri atau Timbalan Menteri tetapi mengubah pemikiran dan sudut pandangan mereka tentang masalah kritikal yang melanda negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum dan majlis pelancaran bukunya berjudul “Time Bombs in Malaysia” edisi bahasa Mandarin semalam selepas tersebarnya khabar angin kononnya DAP menyertai BN.

Secara tegas, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menyifatkan khabar angin itu sebagai agenda sesetengah pihak untuk kepentingan tertentu.

“Penyebar cerita itu menggunakan isi ucapan saya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen DAP Ahad lalu yang menyentuh berkenaan parti kami pernah bersedia untuk ada kerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn.

“Ia pegangan DAP sejak dulu untuk berkolaborasi dengan sesiapa yang berniat membangunkan Malaysia atas dasar menyelamatkan negara, menghapuskan kemiskinan dan penindasan kelas, menegakkan hak asasi manusia serta melawan gejala rasuah,” katanya.

Beliau bertegas DAP berpegang teguh kepada prinsip demokrasi sejak lima dekad lalu dan terus menggembleng tenaga membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan negeri.


Tiada ulasan: